Farm Fresh memperkenalkan produk terbaharu, Farm Fresh choco Malt, minuman coklat malt yang tinggi serat fiber, tinggi protein, dan rendah gula.
Produk baharu itu pertama kali diperkenalkan secara eksklusif melalui jualan siaran langsung di saluran TikTok rasmi Farm Fresh pada 19 Julai lalu dan diperkenalkan secara istimewa oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee serta Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal.
Azmi berkata, Farm Fresh choco Malt merupakan alternatif terbaharu untuk rakyat Malaysia yang menyukai coklat malt dan mencari pengganti yang lebih sihat daripada keluaran syarikat tempatan.
“Kami memastikan bahawa produk ini penuh dengan rasa malt serta keenakan rasa coklat dan pada masa yang sama ia mengandungi kandungan kurang gula serta tiada maltodekstrin.
“Sebagai syarikat tempatan, kami memastikan bahawa pilihan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia di mana Farm Fresh sentiasa peka terhadap bahan di dalam produk makanan atau minuman yang dipilih oleh pengguna dan kami percaya kesihatan bergantung kepada apa yang dimakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Minuman choco Malt ini merupakan produk tenusu dalam format susu tepung kedua Farm Fresh selepas syarikat memperkenalkan susu tepung rumusan Farm Fresh Grow yang dibuat khusus untuk anak-anak berumur satu hingga enam tahun.
Susu tepung itu turut mendapat sambutan yang mengalakkan daripada ibu bapa, dan pengenalan choco Malt selari dengan usaha Farm Fresh untuk terus memberi produk yang berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.
Tuan Ee berkata, setiap syarikat ingin membuat keuntungan, namun bagi Farm Fresh, syarikat lebih mementingkan etika.
“Jika ingin membuat keuntungan lebih, pasti kami akan menambah lebih banyak gula di dalam produk kerana harga gula yang rendah.
“Namun begitu, kami nekad untuk terus memberi yang terbaik kepada rakyat Malaysia, dengan harga yang masih berpatutan dan kami yakin produk choco Malt ini akan mendapat sambutan dan menjadi pilihan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Farm Fresh akan terus berusaha untuk mengembangkan perniagaan tenusu dengan terus memperkenalkan lebih banyak produk baharu serta menambah lebih banyak ladang dan lembu di masa akan datang.
“Syarikat juga berhasrat untuk menjadi salah satu jenama tempatan yang mampu menyokong Malaysia dalam memastikan keterjaminan makanan di negara ini dan tidak bergantung dengan produk import,” katanya.