Enam lelaki pecah rumah diberkas Polis

Kegiatan sekumpulan geng pecah rumah yang menyasarkan kawasan perumahan terpencil di sekitar Mantin dan Nilai tumpas apabila polis berjaya menahan enam lelaki warga tempatan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam empat siri operasi khas Op Pintu Bunga Raya yang dijalankan oleh pihak polis bermula jam 2 petang, 21 November hingga jam 10 malam, 22 November lalu.

“Bertindak atas maklumat, kesemua suspek berjaya dikesan dan ditahan dalam serbuan di Merlimau, Melaka; Kangkar Pulai, Johor dan Semenyih, Selangor.

“Modus operandi kumpulan ini ialah bergerak secara berkumpulan dan menyasarkan kediaman persendirian terutamanya kawasan perumahan terpencil antara jam 3 hingga 6 pagi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fazley berkata, kumpulan tersebut yang dipercayai aktif sejak Mac tahun ini turut dikesan melakukan modus operandi sama membabitkan 44 kes pecah rumah.

Mohd Fazley (tengah) menunjukan antara barang yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, hari ini.
“Kes tersebut melibatkan 14 kes di Mantin, 12 kes (Nilai), 11 kes (Seremban) manakala tujuh kes di luar Negeri Sembilan iaitu empat kes di Semenyih, Selangor; dua kes di Jasin, Melaka dan satu kes di Ipoh, Perak. Jumlah kerugian keseluruhan untuk semua kes dianggarkan RM204,000,” katanya.

Dalam pada itu katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati dua daripada enam suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Dalam serbuan sama, pihak polis berjaya merampas sebuah kereta jenis BMW yang dipercayai digunakan oleh suspek selain sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, 17 buah telefon bimbit, tujuh keping wang kertas warga asing serta dua utas jam tangan.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 30 November ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan kesalahan pecah rumah,” katanya.

Tambah beliau, susulan tangkapan tersebut, pihak polis juga sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes dikenali sebagai Kali Thosan, 36.

Mohd Fazley (tengah) menunjukan lelaki yang dikehendaki polis untuk membantu siasatan. ( Kali Thosan dikehendaki polis untuk membantu siasatan kes pecah rumah di sekitar Mantin dan Nilai.)
“Alamat terakhir orang yang dikehendaki ini adalah di No 6, Persiaran 6, Taman Muda, Simpang Pulai, Kampung Kepayang, Perak.

“Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan boleh menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Nilai, Asisten Superintendan Md Nurazan Md Ghazali di talian 013-8005225 atau Pegawai Penyiasat Sarjan Norisham Husin (012-3481165),” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/112242/EDISI/Melaka-NS/Polis-tahan-enam-lelaki-pecah-rumah

COMMENTS

Wordpress (0)