Ejen kosmetik diculik dari rumah, tak sempat pakai tudung, selipar

Ejen kosmetik diculik dari rumah, tak sempat pakai tudung, selipar

Ejen kosmetik diculik dari rumah, tak sempat pakai tudung, selipar. “Luluh hati mak cik tengok anak diheret di depan mata, hanya Allah tahu sedihnya hati kenangkan nasib anak yang sehingga kini tak diketahui.”

Demikian luahan Zahasnah Mohd Zain, 75, ibu kepada ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, atau Azi yang dipercayai dilarikan beberapa lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini petang semalam.

Zahasnah berkata, sehingga kini mereka sekeluarga masih masih trauma dengan apa yang berlaku dan terngiang-ngiang lagi suara anaknya meminta tolong ketika diheret sekumpulan lelaki itu.

“Mak cik tak tahu apa sebenarnya berlaku kerana sehingga kini kami sekeluarga tidak terima sebarang panggilan, nak minta wang tebusan atau apa-apa. Mak cik sekarang terlalu sedih mengenangkan nasib anak kerana sehingga kini tidak mendapat sebarang khabar berita.

“Mak cik hanya mampu berdoa supaya Rosnazirah ditemui selamat dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Ejen kosmetik diculik dari rumah, tak sempat pakai tudung, selipar

Menceritakan kejadian jam 5.10 petang semalam, Zahasnah berkata, dia baru selesai solat Asar sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang bertanya mengenai anaknya.

“Suami terus panggil anak yang ketika itu berada di dapur dan secara tiba-tiba, Rosnazirah diheret, tak sempat pakai selipar dan tudung.

“Pak cik (suami) sempat bergelut beberapa minit walaupun lelaki itu mengeluarkan pisau, namun dia terpaksa mengalah sebaik lelaki itu mengeluarkan pistol sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.

“Ketika itu, ramai yang menyaksikan kejadian itu termasuk anak Rosnazirah yang menangis minta tolong, namun tiada siapa berani kerana lelaki itu ada pistol,” katanya.

Ketika kejadian, katanya, terdapat lima lelaki semuanya, iaitu seorang menunggang motosikal, manakala empat lagi menaiki kereta.

“Sebelum kejadian, saya perasan sebuah motosikal lalu lalang di kawasan rumah, mungkin dia datang memantau,” katanya.

Adik mangsa, Mohd Syarafi, 26, berharap kakaknya ditemui selamat dan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.

Katanya, Roszanirah bekerja sebagai ejen produk kosmetik sejak tiga tahun lalu dan dia serta keluarga tidak pernah tahu sama ada kakaknya ada berhutang.

“Kami sekeluarga akan mengadakan solat hajat dan besar harapan kami kakak dibebaskan dan pulang dengan selamat,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, Rosnazirah dikatakan dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam tadi.

BACA:

53 kali kahwin, lelaki 63 tahun ini mahu cari kebahagiaan

Ini 62 lokasi di Klang yang berisiko alami banjir

Cuti bersalin dapat gaji penuh sampai 5 bulan, warganet ‘jealous’ dengan Dr Amalina