Ebit Lew derma kereta Myvi, sedikit wang belanja buat ibu tunggal

Dalam masa sehari, pendakwah dan penceramah terkenal, Ebit Lew tampil memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan di dua lokasi berbeza iaitu satu di Tumpat dan satu lagi di Kota Bharu.

Di Kota Bharu, seorang ibu tunggal, Koh Kim Keok diberikan sumbangan berbentuk sebuah kereta Perodua Myvi, dan sebuah tablet serta sedikit duit belanja.

Menurut perkongsiannya di Facebook, Ebit turut akan membayarkan sewa rumah setiap bulan sehingga menyebabkan Koh menitiskan air mata kerana sebak.

“Masa sampai tadi kakak ini menangis. Saya dapat maklumat yang keluarga ini susah dan sudah lama tiada makan besar dan tiada sambutan Tahun Baharu Cina.

“Walaupun dia berbangsa Cina dan bukan beragama Islam, tapi dia kenal saya. Katanya selalu berdoa hendak jumpa saya. Hari ini tiba-tiba ada depan mata,” jelas Ebit.

Dimaklumkan, ibu tunggal itu telah kehilangan suaminya dan membesarkan anak-anak yang ramai sendiri.

“Selepas kematian suami, kakak ini besarkan anak yang ramai seorang diri dengan kerja kedai kopitiam.

“Masa PKP, gaji sehari RM20. Dulu RM30. Sebulan dapat RM600. Salah seorang anaknya telah memeluk agama Islam sudah lama tetapi mereka hidup dengan penuh kasih sayang.

“Anak perempuan berhenti belajar bidang kejururawatan kerana tiada duit untuk bayar yuran RM800. Sedih pula dengar.

“Tiada kenderaan untuk hantar anak sekolah. Dulu ada kereta lama tetapi sudah jual sebagai besi buruk. Saya terus ajak beli kereta. Terus dapat tadi. Kereta Myvi. Menangis kakak gembira sangat.

Ebit malah mencadangkan anaknya itu untuk sambung belajar semula dan akan menanggung yuran penggajiannya.

Pada masa sama, Ebit mengucapkan terima kasih kepada pihak yang turut memberikan bentuk bantuan bagi menjalankan misi bantuannya itu dan menitipkan pesanan kepada semua yang menyambut Tahun Baharu Cina agar meraikannya dengan serba sederhana namun bermakna.

“Terima kasih JKM ada beri duit bulanan. Terima kasih YB dan Menteri. Terima kasih zakat. Terima kasih Penghulu dan ketua kampung.

“Terima kasih jiran dan masyarakat setempat. Terima kasih NGO tempatan. Terima kasih Media yang maklumkan pada saya. Terima kasih semua.

“Semoga menjadi asbab kebaikan. Happy Chinese New Year. Selamat makan besar semua,” tambahnya.

Terdahulu sewaktu di Tumpat, Ebit memaklumkan akan menaja sepenuhnya kos pengajian pelajar cemerlang, Nurul Asma Alya Mohd Zainal bagi melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perakaunan.

Menerusi kemas kini di laman Facebook, Ebit berkata, tajaan tersebut melibatkan lebih RM40,000 untuk tempoh pengajian selama dua tahun setengah termasuk penginapan.

Sumber:https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ebit-lew-derma-kereta-myvi-sedikit-wang-belanja-buat-ibu-tunggal-282577

COMMENTS

Wordpress (0)