Dulu tebar roti canai, kini Timbalan Ketua Polis Negara.. Ayob Khan tak lupa asal usul

Dulu tebar roti canai, kini Timbalan Ketua Polis Negara.. Ayob Khan tak lupa asal usul

Siapa sangka di sebalik keperibadian Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang tega, beliau menonjolkan sisi dirinya yang tidak diketahui ramai.

Sejak Sabtu, tular video menunjukkan beliau mempamerkan kemahiran menebar roti canai seperti yang sering kita lihat di restoran-restoran.

Kebolehan beliau itu jelas dapat dilihat menerusi program yang dianjur Kelab Media Johor (KMJ), di Johor Bahru, awal pagi Sabtu.

Menerusi satu rakaman video berdurasi 64 saat memaparkan aksi Ayob Khan menyediakan juadah kegemaran segenap lapisan rakyat Malaysia itu tanpa kekok, sambil bergurau mesra dengan pengamal media pada program santai berkenaan.

Pastinya ramai yang tertanya-tanya dari mana Timbalan Ketua Polis Negara itu menimba kemahiran yang bukan biasa-biasa dalam menebar roti canai.

Rupa-rupanya Ayob Khan ketika zaman remaja pernah membantu ibu bapanya membuat roti canai di kedai kopi milik keluarga mereka di kampung halaman di Pendang, Kedah.

Ayob Khan sendiri berkongsi sekeping foto yang dirakamkan pada 1978 di sebuah kedai makan.

“1978-Kedai Kopi Mydin… Tanah Merah Pendang Kedah…’We cannot forget who we are….or where we come from’ (Kita tidak boleh lupa siapa kita… atau dari mana asal usul kita),” tulis Ayob Khan di akaun Instagram milik beliau.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, kemahiran menebar roti canai itu dimiliknya sejak kecil ketika membantu bapanya di sebuah kedai makan di Pendang.

“Saya belajar tebar roti canai ini pada tahun 1978 waktu itu saya berumur 12 tahun, membantu orang tua saya di kedai makan,” katanya, memetik laporan Astro Awani.

Dalam pada itu, menerusi ruangan komen di akaun Instagram Ayob Khan @ayobkhanmydin, rata-rata netizen kagum dengan kebolehan Timbalan Ketua Polis Negara itu.

Walaupun foto beliau menebar roti canai itu dikongsikannya akhir tahun lalu, namun kebanyakan netizen memenuhi ruangan komen susulan gambar berkenaan tular sejak Sabtu.

“Terbaik Datuk, ingat asal-usul. Bila berjaya tidak meninggi diri, ” komen seorang netizen.

BACA:  Pakcik tiba-tiba minta benda aneh dekat pemuda ini, lepas hantar ke pusat zakat baru terjawab rupanya…