Doktor kongsi pengalaman, dulu tak percaya suplemen, sekarang jadi amalan

Doktor kongsi pengalaman, dulu tak percaya suplemen, sekarang jadi amalan. MASYARAKAT sering didedahkan dengan bahaya makanan kesihatan tambahan atau suplemen.

Malah beberapa pakar menyifatkan penggunaannya belum tentu menjamin kesihatan dan kesejahteraan seperti yang didakwa.

Namun, baru-baru ini seorang pengamal perubatan am menyatakan bahawa pengambilan suplemen vitamin dan herba dapat membantu individu menambah tenaga terutama mereka yang sudah berumur atau mempunyai penyakit kronik.

Menerusi hantaran di Facebook, Dr Zubaidi Ahmad turut mendedahkan bahawa rakan doktor senior seusianya mengambil sekurang-kurangnya satu biji multivitamin malah mereka manyatakan ia diambil kerana faktor usia serta tidak cukup tidur dan tekanan yang dihadapi.

“Mungkin ada doktor muda yang tak percaya pengambilan suplemen vitamin dan herba. Saya begitu juga ketika baru panas keluar universiti.

Doktor kongsi pengalaman, dulu tak percaya suplemen, sekarang jadi amalan

“Saya anggap semua itu satu kepalsuan, walhal saya tidak pun belajar mendalam tentang suplemen vitamin dan herba sebaliknya hanya belajar tentang ubat sintetik,” katanya sambil menyifatkan pendidikan tentang bahan ubatan tersebut juga tidak mendalam berbanding ahli farmasi.

Katanya lagi, memang terdapat perbezaan antara individu yang mengambil suplemen vitamin dan mereka yang tidak mengambilnya.

“Rasa lebih sihat dan bertenaga, terutama bila sudah berumur atau ada penyakit kronik.

“Ambil suplemen vitamin dan herba ini adalah sebahagian kecil daripada perubahan gaya hidup yang saya cadangkan.

“Jadi ambil suplemen atau herba yang perlu,” jelasnya.

Namun, Dr Zubaidi menyeru supaya orang ramai meminta nasihat daripada pakar sebelum mengambil sebarang suplemen yang diingini.

Ketika dihubungi mStar, beliau menambah, suplemen yang mengandungi bahan terlarang perlu dielakkan kerana kebanyakannya memberi kelegaan sementara tetapi mengakibatkan kesan sampingan yang teruk.

“Sebelum ambil suplemen tu tengok dulu kandungan kerana dibimbangi bercampur dengan bahan terlarang. Dapatkan suplemen daripada ahli farmasi yang pastinya mempunyai pengesahan daripada KKM (Kementerian Kesihatan).

Tidak adil jika suplemen itu dikatakan memberi kesan yang tidak bagus kepada penggunanya berikutan ia berada di bawah kawalan ahli farmasi.
DR ZUBAIDI AHMAD

“Jadi tidak adil kita halang pengguna mengambil suplemen yang dijual di farmasi kerana memang ada perakuan malah ia berada di bawah kawalan ahli farmasi,” ujarnya.

Mengambil contoh vitamin C, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Muslim Malaysia (Perdim) memaklumkan, tidak adil jika suplemen itu dikatakan memberi kesan yang tidak bagus kepada penggunanya berikutan ia berada di bawah kawalan ahli farmasi.

“Tiada lagi kes individu yang ambil vitamin C disahkan sakit buah pinggang tetapi yang ambil ubat tahan sakit memang buah pinggangnya rosak.

“Vitamin C ini boleh diambil dalam kadar 200mg hingga 250mg sehari bagi individu yang tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

“Mereka yang menghidap penyakit kronik atau perokok tegar dan wanita hamil serta menyusukan mungkin perlu mengambil tambahan dos.

“Jika berlebihan, ia tidak disimpan di dalam tubuh sebaliknya akan dibuang melalui air kencing,” tambahnya yang menggalakkan pengambilan air mencukupi.

Terdahulu, hantaran Facebook yang dibuatnya itu kemudian dikongsikan warganet.

BACA:

Tular video buaya muncul di sungai Perak

“Ustaz Kazim tengah berlakon dengan Mawi kan?” Persoalan Aeril buat netizen bengang

Bungkusan terlalu banyak, J&T mohon maaf atas kelewatan

COMMENTS

Wordpress (0)