Diana Danielle akui nak beli nasi lemak RM1 pun tak mampu

Terpaksa berpindah-randah sebanyak 11 kali, tiada rumah, tiada wang, tiada makanan dan terpaksa menumpang rumah orang.

Inilah yang dialami pelakon popular, Diana Danielle, 33, yang pernah hidup dalam kesusahan ketika kanak-kanak.

Diana berkata, ketika itu dia hidup bersama ibunya yang juga ibu tunggal.

“Saya datang dari latar belakang yang sangat bawah. Kami pernah tiada rumah dan terpaksa menumpang di rumah keluarga dan kawan-kawan. Ibu pula tidak bekerja selama dua tahun.

“Pernah berlaku kami terpaksa berpindah sebanyak 11 kali dalam tempoh yang singkat. Saya cuma bawa beg sandang dan ketika itu berusia sekitar 10 ke 12 tahun. Ibu saya jatuh sakit dan dia kehilangan perniagaannya.

“Kami memang tak ada duit langsung. Nak beli nasi lemak sebungkus RM1 pun tak mampu. Itulah sebabnya saya mula berlakon lebih dengan serius,” katanya menerusi ‘podcast’ di YouTube Debonair Podcast kendalian Deborah Henry.

Pengalaman hidup itulah yang menjadikan pelakon filem Imaginur itu lebih mensyukuri hidup seadanya tanpa mengejar kebendaan semata-mata.

“Saya sedar kebendaan cuma kebendaan, duit cuma duit. Semua nak jadi jutawan. Saya menentang itu kerana menjadi gangguan.

“Disebabkan itulah saya rasa orang jadi tertekan kerana tidak dapat mencapai jangkauan yang masyarakat ada terhadap kita,” katanya.

Sumber : Metro

Baca : Jamal Abdillah rugi RM2 Juta kena scam