‘Detektif Lim’ nikah pada usia 55 tahun

‘Detektif Lim’ nikah pada usia 55 tahun

Pelakon drama bersiri Gerak Khas, Farid Amirul selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Norhayati Abdullah, 39, di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kuala Lumpur, semalam.

Farid, 55, yang popular menerusi watak Detektif Lim berkata, majlis akad nikah berjalan dengan lancar walaupun sedikit lewat.

“Alhamdulillah, majlis akad nikah berjalan lancar. Sepatutnya ia berlangsung jam 12 tengah hari tapi dilewatkan sedikit memandangkan ada beberapa pasangan lain sebelum kami.

“Majlis semalam dihadiri lima orang termasuk saya dan juga isteri. Akad nikah disempurnakan oleh jurunikah dari Jawi, Ustaz Maliki,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Farid, melangsungkan majlis pernikahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada kelebihan dan kekurangan.

 

 

“Kalau dari segi kos, memang jimat sebab kita tak ada jemputan dan sebagainya. Tapi, dari segi perasaan untuk mengikut adat, saya rasa sunyi sikit sebab tak ada majlis keraian.

“Insya Allah, kalau PKP sudah ditamatkan nanti dan kita dibenarkan untuk adakan majlis, kami akan adakan majlis resepsi sama ada di Kuala Lumpur atau di kampung halaman isteri di Kuala Krai, Kelantan,” katanya.

Itu adalah perkahwinan pertama buat Farid dan isterinya yang juga ahli perniagaan.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/675315/detektif-lim-nikah-pada-usia-55-tahun

COMMENTS