Demam babi Afrika (ASF), menteri arah bunuh babi

Demam babi Afrika (ASF), menteri arah bunuh babi

Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Jeffrey Kitingan berkata, kira-kira 3,000 ekor babi di Pitas akan dimusnahkan bagi mencegah penularan demam babi Afrika (ASF), selepas 22 ekor babi di sebuah kampung di daerah itu dilupuskan dalam fasa pertama.

“Dianggarkan ada sekitar 2,000 ekor babi di Pitas dan sekitar 1,000 ekor babi hutan dalam radius 50km. Semua haiwan ini mesti dilupuskan.

“Pada masa sama, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) melakukan kempen di 25 kampung untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit ASF.

“Ini sebahagian daripada 182 kampung di Pitas yang perlu diadakan kempen itu. Bagaimanapun, kempen melalui media sosial dimulakan lebih awal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kementeriannya akan meningkatkan pengawasan di luar daerah Pitas dan JPVS sudah mengambil 120 sampel untuk ujian virus ASF di seluruh Sabah.

Katanya, persampelan turut diperolehi dari rumah penyembelihan babi, pusat penjualan daging babi komersial dan vendor yang menjual babi salai (sinalau bakas) di seluruh negeri.

“Sekiranya virus ASF dikesan di luar Pitas, daerah berkenaan juga akan diisytiharkan kawasan wabak ASF mengikut Enakmen Haiwan 2015 yang memberi kuasa penuh kepada JPVS mengambil tindakan pengawalan penyakit melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Fokus sekarang adalah mengawal virus daripada merebak ke luar Pitas. Jika ini berlaku, kami akan melakukan segala yang mampu untuk melindungi kawasan ladang babi utama agar pengeluaran daging babi Sabah tidak terjejas.

“Saya juga mengingatkan semua pengusaha babi komersial meningkatkan kawalan biosekuriti di ladang masing-masing dan melaporkan semua kematian babi kepada JPVS untuk tujuan penyiasatan.”

Kitingan berkata, JPVS dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah menubuhkan sebuah pasukan untuk mengumpul sampel dan menyiasat punca kematian babi hutan yang ditemui di sebuah resort di Kinabatangan.

Katanya, keputusan ujian makmal dijangka diketahui Selasa depan.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai bahawa penyakit ASF tiada ubat atau vaksin. Namun, virus ini bukan penyakit zoonotik, maksudnya ia tidak berjangkit kepada manusia.”