DBKL sedang meniliti larangan warga emas dan kanak-kanak berkunjung ke Bazar Ramadhan

DBKL sedang meniliti larangan warga emas dan kanak-kanak berkunjung ke Bazar Ramadhan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih mengkaji keperluan melarang warga emas dan kanak-kanak daripada mengunjungi bazar Ramadan.

Pertimbangan bagi mengelak risiko penularan kepada golongan rentan itu akan dibuat bersandarkan beberapa faktor dan fakta sains, selain perbincangan bersama pihak berkuasa berkaitan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata kunjungan ke bazar Ramadan bagi mendapatkan juadah berbuka ketika ini dilihat menjadi aktiviti seisi keluarga.

“Justeru, kita kena tengok sama ada langkah melarang warga emas dan kanak-kanak daripada mengunjungi bazar Ramadan praktikal atau sebaliknya.

“Matlamat utama langkah sedemikian ialah mengekang risiko penularan kepada golongan rentan, tetapi ia juga berupaya dilakukan menerusi pengubahsuaian tapak bazar Ramadan dan kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita akan bincangkan keperluan bagi mengenakan larangan ini dengan lebih lanjut bersama pegawai dan agensi berkaitan, sebelum pengumuman lanjut dibuat.

“Buat masa ini, saya lebih ingin sarankan untuk seisi keluarga membuat perancangan sendiri dalam mengatur siapa yang perlu beli juadah dan selebihnya mungkin boleh tunggu di ruang terbuka serta terpisah daripada kawasan sesak,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Tinjauan BH ke pasar malam setiap Sabtu yang kini menjadi bazar Ramadan, dekat Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), hari ini dikunjungi orang ramai bagi mendapatkan pelbagai juadah berbuka untuk santapan seisi keluarga.

Meskipun sesak, penganjur dan petugas DBKL menempatkan sekurang-kurangnya dua petugas di laluan masuk dan keluar bazar bagi mengawal aspek pematuhan SOP, termasuk kewajipan mengambil suhu badan, mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera dan meletakkan pelekat kepada pengunjung yang melepasi saringan.

Setiap gerai turut dijarakkan sekurang-kurangnya 1.5 meter bagi memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan orang ramai, malah ruang hadapan ditanda dengan beberapa garisan untuk mengawal aliran keluar masuk ketika berurus niaga.

Sementara itu, kehadiran pengunjung di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur, dekat Jalan TAR yang menjual pelbagai kelengkapan bagi menyambut lebaran pula dilihat masih dalam fasa ‘panas badan’.

Berlangsung seawal jam 9 pagi hingga larut malam, kawalan pematuhan SOP di operasi bazar Aidilfitri cukup ketat, dengan semua empat seksyen perniagaan ditempatkan sekurang-sekurangnya dua pegawai DBKL.

Pengunjung yang melepasi saringan dan pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera pula diberikan pas berwarna merah ketika melalui laluan masuk, sebelum dipulangkan ke petugas di laluan keluar.

Terbahagi kepada A, B, C dan D, setiap seksyen bazar Aidilfitri sepanjang kira-kira 100 meter ini hanya mengeluarkan pas masuk kepada 100 pengunjung pada satu-satu masa bagi mengawal aspek penjarakan fizikal.

Penghadang besi setinggi dua meter turut diletakkan di sepanjang seksyen bazar Aidilfitri, sekali gus memisahkan kelompok pengunjung dari kedai di Jalan TAR dan pusat beli belah berdekatan.

Mahadi berkata, petugas DBKL dibahagikan kepada tiga syif untuk memantau aspek pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung bazar Aidilfitri.

“Petugas juga diarahkan untuk memantau kesesakan di setiap gerai jika ia mula dikunjungi orang ramai kerana kita tidak mahu wujud penularan kluster baharu daripada bazar Aidilfitri.

“Kita ingin beri peluang untuk setiap peniaga mencari pendapatan menjelang Aidilfitri, tetapi kepentingan menjaga SOP tidak boleh diabaikan, justeru kawalan SOP yang diterapkan amat ketat,” katanya.

COMMENTS