Darurat tidak ada kaitan dengan politik – Muhyiddin

Perisytiharan darurat sama sekali tiada kaitan dengan politik atau untuk membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan sebagai perdana menteri sebaliknya langkah itu bagi membolehkan isu COVID-19 diuruskan secara berkesan dan segera.
Ketika menjelaskan kedudukan sebenar darurat yang diisytiharkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri, Muhyiddin berkata beliau tetap berpegang pada janji bahawa darurat akan ditamatkan lebih awal daripada tarikh 1 Ogos jika pandemik COVID-19 berjaya dibendung.
“…kalau boleh selesai awal (dan) jawatankuasa khas bebas yang ditubuhkan kata dah boleh (tamat), saya ikut sahajalah… Kita pun tak nak selama-lama dikongkong oleh peraturan sebegini,” kata Muhyiddin semasa wawancara khas bersama Bernama dan beberapa organisasi media sempena setahun beliau memegang jawatan perdana menteri di kediamannya di Bukit Damansara, di sini.