Dakwaan salah guna kuasa, SPRM digesa siasat pemimpin Pas

Dakwaan salah guna kuasa, SPRM digesa siasat pemimpin Pas

Dakwaan salah guna kuasa, SPRM digesa siasat pemimpin Pas. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Aziz sama ada wujud salah guna kuasa berhubung isu permohonan kemudahan majlis perkahwinan anaknya yang tular baru-baru ini.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, berkata SPRM juga perlu menyiasat dan menyerbu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), seperti mana yang dilakukan terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kes berkaitan projek tebatan banjir awal minggu ini.

Tegasnya, permohonan Nik Abduh kepada MPKB-BRI itu menimbulkan persoalan mengenai salah guna kuasa kerana Ahli Jawatankuasa Kerja PAS itu menggunakan kepala surat rasminya sebagai Ahli Parlimen Bachok dalam permohonan berkenaan.

“Biasanya perkhidmatan daripada majlis tempatan boleh disediakan dengan bayaran atau pada kadar sewa tertentu yang ditawarkan kepada semua, namun Nik Abduh tidak menawarkan untuk membayar sebarang bentuk bayaran atau kadar sewa dalam surat rasminya.

“Nik Abduh tidak perlu menggunakan kepala surat rasmi dan status Ahli Parlimen Bachok untuk mendapatkan kerjasama MPKB-BRI untuk acara persendirian keluarga yang tidak berkaitan dengan tugas awam kepada pengundinya.

Dakwaan salah guna kuasa, SPRM digesa siasat pemimpin Pas

“Sebab itulah SPRM perlu menyiasat Nik Abduh dan sepatutnya menyerbu MPKB-BRI untuk melihat sama ada wujud salah guna kuasa atau sama ada MPKB-BRI cuba menutup kerjasama yang diberikan seperti diminta Nik Abduh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular satu surat rasmi yang mengguna pakai kepala surat Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bachok ditandatangani Nik Abduh, yang meminta kerjasama MPKB-BRI untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan penguat kuasa kawalan lalu lintas untuk majlis perkahwinan anaknya semalam.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin semalam dilapor mengesahkan menerima surat berkenaan, namun tidak memaklumkan mengenai keputusan yang dibuat terhadap permohonan berkenaan.

Mengulas lanjut, Guan Eng menegaskan SPRM perlu mengambil tindakan tegas terhasap MPKB-BRI, sama seperti yang dilakukan terhadap MBSA baru-baru ini supaya tidak dilihat mengamalkan dua darjat dalam tindakannya.

“SPRM mesti menunjukkan bahawa ia tidak mengamalkan amalan dua darjat antara MPKB dan MBSA,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu merujuk pada serbuan SPRM terhadap pejabat MBSA Isnin lalu, dipercayai berkaitan siasatan kes projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit, dengan tiga individu ditahan reman susulan serbuan berkenaan.

BACA:

Wanita ini terkejut mesin ATM keluarkan duit palsu

Lelaki Nigeria penjual nasi lemak di UM rupanya seorang coach bola bertaraf UEFA

SUV rempuh motosikal, penghantar makanan disahkan maut