Daging korban tak boleh disimpan lebih 3 hari? Ini penjelasannya

Daging korban tak boleh disimpan lebih 3 hari? Ini penjelasannya

Daging korban tak boleh disimpan lebih 3 hari? Ini penjelasannya.DAGING hasil daripada ibadah korban akan disimpan sama ada oleh individu yang membuat korban atau penerimanya. Persoalannya adakah ia boleh disimpan melebihi tempoh tiga hari?

Umum mengetahui ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Kebanyakan daripada masyarakat di Malaysia biasanya mengikut pembahagian daging mengikut sukatan berikut iaitu satu pertiga untuk dimakan oleh individu yang berkorban dan ahli keluarganya; satu pertiga disedekahkan kepada fakir dan miskin manakala satu pertiga lagi dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

BAGAIMANAPUN, TIMBUL PERSOALAN TEMPOH DAGING KORBAN ITU BOLEH DISIMPAN OLEH INDIVIDU YANG MELAKUKAN IBADAH KORBAN. ADAKAH BENAR IA TIDAK BOLEH DISIMPAN MELEBIHI DARI TIGA HARI?

Menurut Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil, menurut mazhab Syafie diharuskan untuk menyimpan daging korban walaupun melebihi tiga hari asalkan daging tersebut tidak rosak mahupun busuk sehingga menyebabkan pembaziran.

Daging korban tak boleh disimpan lebih 3 hari? Ini penjelasannya

“Penyimpanan daging korban lebih daripada tiga hari pernah dilarang oleh Rasulullah SAW. Namun larangan itu sudah dimansuhkan atau disebabkan situasi sudah berubah seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitab ‘Raudah al-Tolibin’:

يجوز أن يدخر من لحم الأضحية، وكان ادخارها فوق ثلاثة أيام قد نهى عنه رسول الله صلى الله عليه وسلم، ثم أذن فيه. قال الجمهور: كان نهي تحريم. وقال أبو علي الطبري: يحتمل التنزيه.
“Boleh/harus seseorang menyimpan sebahagian daripada daging korban. Rasulullah SAW pernah melarang menyimpan (daging korban) lebih dari tiga hari kemudian Baginda mengizinkannya. Menurut majoriti ulama larangan ini bermakna haram, manakala menurut Abu Ali al-Tobari, kemungkinan larangan ini bermaksud makruh,” kongsinya.

Menurut Dr Syed Syahridzan, Imam Nawawi turut menyebut kemungkinan sebab larangan tersebut di dalam rujukan yang sama:

في أن النهي كان عاما، ثم نسخ، أم كان مخصوصا بحالة الضيق الواقع في تلك السنة، فلما زالت انتهى التحريم
“Larangan tersebut berjalan selama setahun kemudian dimansuhkan, atau larangan ini dikhususkan dengan sebab keadaan yang sempit pada tahun itu, tatkala luput keadaan itu maka tiada lagi pengharaman.

“Beliau menjelaskan lagi, jika keadaan yang sempit atau susah berlaku pada zaman kini, adakah diharamkan kembali menyimpan daging korban lebih dari tiga hari?

KATANYA, JIKA INGIN MENYIMPAN DAGING KORBAN, MAKA SEELOKNYA IA BAHAGIAN UNTUK DIMAKAN.

Imam Nawawi menjelaskannya di dalam ‘Raudah al-Tolibin’:

في أنه لو حدث مثل ذلك في زماننا وبلادنا، هل يحكم به؟ والصواب المعروف: أنه لا يحرم اليوم بحال. وإذا أراد الادخار، فالمستحب أن يكون من نصيب الأكل، لا من نصيب الصدقة والهدية.

“Jika berlaku situasi sebegitu pada zaman kita atau negeri kita, adakah dihukumkan dengannya (haram)? Pendapat yang tepat lagi diketahui, ia tidak diharamkan pada hari ini walau apa situasinya sekali pun.

“Jika seseorang ingin menyimpan maka digalakkan menyimpan daging korban daripada bahagian yang dimakan (sendiri dan keluarga), bukan bahagian sedekah dan hadiah.”

Dr Syed Syahridzan menyimpulkan menyimpan daging korban disimpan lebih dari tiga hari oleh individu yang melakukan korban pernah dilarang Rasulullah SAW. Namun ia dimansuhkan atas beberapa sebab.

“Rasulullah SAW pernah melarang daging korban disimpan melebih dari tiga hari, namun setelah itu Baginda mengizinkan kembali kerana hukum itu sudah dimansuhkan atau situasi dan keadaan sudah berubah.

“Dengan ini tiada masalah jika daging korban yang akan dimakan oleh sendiri dan keluarga boleh disimpan selama mana pun.

“Namun tidak digalakkan menyimpan daging korban yang ingin disedekahkan atau dihadiahkan dalam tempoh yang lama kerana ia sunat diagihkan secepat mungkin,” titipnya.

SEMOGA DENGAN PERKONGSIAN INI DAPAT MERUNGKAI PERSOALAN DAN KEKELIRUAN KAUM HAWA YANG BAKAL MELAKUKAN IBADAH KORBAN TIDAK LAMA LAGI.

Tidak perlu bimbang sekiranya daging korban masih belum habis. Cuma pastikan ia bukan bahagian yang ingin disedekahkan. Jangan lupa simpan di tempat yang sesuai agar kesegarannya bertahan lama.

BACA:

Jadi kaya sebab duit derma, pemuda ini dedah taktik ‘penipuan’ guna NGO

Kerajaan negeri tak dapat bina semula sebahagian rumah hanyut, ini sebabnya

Didakwa terima bayaran mahal untuk Mat Kilau, ini jawapan Adi Putra