Cuaca panas berlarut higga bulan Mac

Cuaca panas berlarut higga bulan Mac

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang dialami ketika ini dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac 2021.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Jailan Simon, berkata negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut susulan itu, taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di Utara Semenanjung.

“Taburan hujan yang rendah dalam tempoh lama boleh menyebabkan cuaca agak panas, terutamanya pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan.

“Pihak kami tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sehingga kini, suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah lebih rendah berbanding tahun lalu.

Suhu tertinggi pada Februari 2021 adalah 36.2 darjah celcius manakala pada tahun 2020 adalah 37.4 darjah celcius yang dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air, mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar dan minum air secukupnya.

“Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sumber: BH

COMMENTS