CEO batu teruk kemalangan

Seorang pempengaruh terkenal, CEO Batu dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal Yamaha Lagenda ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di KM112.4 Lebuhraya Utara Selatan pada awal pagi Sabtu, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, mangsa Muhammad Iqbal Muhammad Nor, 21, cedera di beberapa bahagian termasuk patah sebatang gigi.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, kereta dan motosikal yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Butterworth menghala ke Alor Setar.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pempengaruh itu sedang meneruskan perjalanan di lorong kiri, namun secara tiba-tiba seorang pemandu kereta mengubah laluan dari lorong kanan ke lorong kiri.

“Mangsa kemudiannya tidak sempat menekan brek dan mengelak menyebabkan penunggang motosikal terlanggar bahagian belakang sebelah kiri kenderaan wanita itu,” ujar Wan Azharuddin sewaktu dihubungi.

Tambahnya, mangsa mengalami luka berjahit di muka sebelah kanan, luka di kaki dan tangan, patah sebatang gigi akibat insiden itu.

“Pemandu kereta Myvi didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59),” katanya lagi.

Terdahulu, akaun ‘ Sungai Petani’ di platform X turut memuat naik berita kemalangan membabitkan pempengaruh itu.

Dalam hantaran itu, mendedahkan pempengaruh ketika menerima rawatan di hospital selepas kemalangan.

Tambah perkongsian itu, CEO Batu difahamkan dalam perjalanan pulang ke Alor Setar sebelum ada sebuah kenderaan secara tiba-tiba menukar haluan.

“Beliau dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.Cedera di bahagian tangan, patah gigi hadapan dan menerima lebih 20 jahitan di bahagian kepala,” kongsi pemilik akaun itu.

Walau bagaimanapun, lelaki itu kini dilaporkan stabil dan telah kembali berjalan.

Sumber: Sinar Harian

BACA JUGA: Ini keadaan bakteria jika masih pakai face mask yang sama hari ke-5