Bunuh anak : Suami isteri ke tali gantung

Bunuh anak : Suami isteri ke tali gantung

Sepasang suami isteri dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh anak perempuan mereka pada 2016.

Hakim Datuk Zainal Azman Abd Aziz menjatuhi hukuman itu ke atas Anuar Yusof, 55, serta isterinya, Murni Ahmad, 40, yang juga ibu tiri mangsa, selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, dua lagi anak kandung pasangan terbabit, iaitu Siti Sarah Anuar, 26, serta Amir Sharif Anuar, 19, dilepas dan dibebaskan kerana didapati tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, empat tertuduh itu didakwa secara bersama-sama membunuh mangsa, Siti Hajar Anuar yang ketika kejadian berusia 22 tahun, di Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai Chukai, Kemaman, jam 10.45 malam 26 April 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman bawah Seksyen 35 akta sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail.

Sebelum ini, tragedi menimpa mangsa dikesan selepas polis curiga dengan laporan kematian dibuat bapanya pada 26 April 2016.

Dalam laporan dibuat, gadis itu dikatakan mengalami sakit biasa, namun hasil pemeriksaan mendapati ada kesan gigitan pada badan dan lebam di mata mangsa.

Siasatan awal polis juga mendapati keadaan fizikal mangsa terlalu kurus dengan berat badan hanya 18 kilogram.

Susulan itu, empat beranak terbabit ditahan di rumah mereka pada jam 1.50 pagi 1 Mei 2016.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/791152/bunuh-anak-suami-isteri-dihukum-gantung-sampai-mati