Bos Mydin gesa kerajaan keluarkan telur dari harga kawalan, ini sebabnya

Bos Mydin gesa kerajaan keluarkan telur dari harga kawalan, ini sebabnya

Bos Mydin gesa kerajaan keluarkan telur dari harga kawalan, ini sebabnya. Kerajaan disaran untuk tidak meletakkan telur ayam di bawah harga kawalan selepas sumber protein itu kembali stabil di pasaran negara ini.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin, berkata langkah itu dapat mengelakkan pembekal ‘main harga’ serta mengenakan caj tambahan untuk perkara lain.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya membiarkan telur ayam itu dijual mengikut harga pasaran dan memberi jaminan, harganya tidak akan meningkat secara mendadak melebihi tujuh hingga lapan sen sebiji.

“Kalau bekalan telur ayam pada pembekal tempatan ini sudah mencukupi, kita tidak perlu lagi ambil bekalan dari luar. Kita mahukan situasi menang-menang. Diharapkan selepas perayaan Krismas ini, kerajaan tidak buat harga kawalan untuk telur.

“Sebab dulu, harga kawalan ini dibuat masa perayaan sahaja, namun kini harganya sudah keterlaluan. Jangan takut sangat dengan kenaikan harga telur ayam, saya rasa kalau kerajaan tidak buat harga kawalan, ia akan naik sedikit sahaja mengikut kos yang sudah dikira.

Bos Mydin gesa kerajaan keluarkan telur dari harga kawalan, ini sebabnya

“Telur ayam jenis Omega pun kini 65 sen sebiji, manakala harga telur import yang gred C juga sudah mahal iaitu sekitar 50 sen sebiji. Malah, saiznya lagi kecil berbanding bekalan yang ada dalam negara ini.

“Sejak dahulu saya nyatakan, harga telur ayam ini tidak penting, yang penting adalah bekalan,” katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Ameer berkata, setiap kali adanya kawalan harga, sudah tentu berlaku ‘underground economy’ di sebaliknya.

“Mungkin kerajaan kini tidak tahu, walaupun ada harga kawalan ia akan disekalikan dengan ‘underground economy’. Ini bermakna, harga barangan itu dijual lebih mahal. Kalau harga kawalan menetapkan sebiji telur itu dijual pada harga 45 sen sebiji, peniaga tidak akan mendapat bekalan dengan harga berkenaan.

“Jika mereka sudi untuk membayar lebih, baru mereka akan dapat bekalan. Namun, dalam invois, harga telur ayam ini akan kekal sama, cumanya mereka ‘main harga’ dan kenakan caj tambahan pada pengangkutan atau caj pengendalian.

“Ini tidak betul. Ia membabitkan harga yang mahal, namun dengan cara yang tidak telus. Disebabkan kerajaan nak semua dibuat secara telus, jadi kita cadangkan untuk tidak membuat harga kawalan selepas perayaan Krismas ini,” katanya.

Mengulas mengenai telur ayam import yang diterima oleh pihak Mydin, Ameer memaklumkan, bekalan yang diterima hanya cukup untuk bekalan dua hingga tiga hari di cawangan Subang Jaya.

“Minggu depan akan masuk lagi bekalannya dan akan diagihkan kepada semua cawangan Mydin di negara ini. Saiznya sedikit kecil, namun harganya lebih mahal berbanding Gred A.

“Walaupun harganya sedikit mahal, sekurang-kurangnya kita ada bekalan untuk menampung keperluan rakyat di negara ini,” katanya.

BACA:

6 negeri bakal banjir lagi dalam tempoh 24 jam

Jual minyak pengasih di TikTok, laku keras pula tu

Kecoh balik Syamsul kahwin senyap-senyap dengan Ira, ini respon Yusof Haslam