Bintang Korea Selatan Piala Dunia 2002 meninggal dunia

Bintang Korea Selatan Piala Dunia 2002 meninggal dunia

Bintang Korea Selatan yang membawa pasukan negara itu mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002 telah meninggal dunia.

Yoo Sang-chul adalah salah seorang bintang Korea Selatan yang mengejutkan dunia bola sepak apabila mengemudi negaranya mara sejauh ke peringkat separuh akhir di kejohanan Piala Dunia 2002. Beliau meninggal dunia pada usia 49 tahun, selepas bergelut dengan kanser pankreas sejak beberapa tahun yang lalu.

Yoo beraksi sebanyak 124 perlawanan untuk Korea Selatan dari 1995 sehingga 2005. Gol yang paling menjadi sebutan pernah dijaringkan oleh Yoo dari 18 gol keseluruhan untuk negaranya ialah jaringan ketika menewaskan Poland 2-0.

Ia adalah perlawanan pertama dihadapi Korea Selatan yang juga merupakan penganjur bersama kejohanan tersebut bersama Jepun.

“Kami akan sentiasa mengingati kegembiraan dan kegemilangan hari tersebut bersama anda. Damailah di sana,” ujar Persatuan Bola Sepak Korea Selatan melalui satu mesej yang dimuat naik di media sosial pada Isnin lalu.

Perjalanan penuh inspirasi Korea Selatan di kejohanan Piala Dunia 2002 juga termasuk kejayaan menewaskan Portugal di saingan peringkat kumpulan dan jaringan gol emas yang menyingkirkan Itali di pusingan 16 pasukan terbaik. Jutaan penduduk Korea Selatan membanjiri jalanan meraikan kejayaan tersebut.

Korea Selatan kemudiannya mara ke separuh akhir pertandingan selepas menewaskan Sepanyol melalui penentuan sepakan penalti di peringkat suku akhir.

Perjalanan Korea Selatan bagaimanapun terhenti selepas tewas 1-0 kepada Jerman di dalam aksi separuh akhir. Skuad kendalian Guus Hiddink itu kemudiannya tewas 3-2 kepada Turki dalam perlawanan play-off penentuan tempat ketiga.

COMMENTS