Bilal maut kemalangan

Seorang bilal meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Kilometer 10 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kejadian lebih kurang jam 2.30 petang itu melibatkan sebuah kenderaan jenis Honda Jazz dipandu mangsa, Muhammad Faris Bahaudin, 20, dan lori jenis Scania, dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun.
“Siasatan awal mendapati mangsa dari Juaseh menghala ke Batu Kikir. Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaannya dipercayai hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan.
“Kenderaan mangsa kemudian melanggar bahagian tayar belakang sebelah kanan lori yang berada di laluan tersebut sebelum berpusing dan masuk semula ke laluannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Katanya, susulan itu, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” kata beliau.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/111940/EDISI/Melaka-NS/Bilal-maut-kemalangan