Benjy meninggal dunia

Benjy meninggal dunia

Pelakon Benjy, 43, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit asma di sebuah hospital di Medan, Indonesia, pagi tadi.

Berita pemergian Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim tular di kalangan rakan artis dan ia dipercayai daripada makluman bapanya, Khairil Anwar Zainal Muktar Rashidi.

Khairil berkata, dia menerima panggilan telefon daripada rakan arwah kira-kira 11 pagi tadi.

“Ben meninggal dunia di sebuah hospital di Medan akibat serangan asma, hari ini,” katanya dalam mesej yang dikirimkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, arwah Benjy dijatuhi hukuman penjara selama 11 tahun atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu di Indonesia pada 2017.

Pada 2018, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi pernah mengunjungi arwah di Penjara Tanjung Gusta, Medan.

Namun, keadaan kesihatan aktor yang pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2002 itu sudah terganggu akibat penyakit asma kritikal dan batuk tanpa henti.

Keadaan arwah masih sama ketika Setiausaha Agong SENIMAN, Hafiz Nafiah berkunjung setahun kemudian, malah penyakitnya dilaporkan semakin teruk.

Sementara itu, Hafiz berkata, pihaknya sedang berhubung dengan pejabat Konsulat Malaysia untuk urusan pengebumian pelakon drama Kerana Cintaku Saerah itu.

“Keluarga mahu jenazah arwah diuruskan dan dikebumikan di Medan, memandangkan kos membawa pulang jenazah menelan belanja yang besar,” katanya.

Allahyarham Benjy pernah mendirikan rumah tangga dengan Safiya Stephanie Kar-Leng Lee pada Februari 2004. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 2013. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Firdaus Juan Benjamin, 16.

COMMENTS