Bekas suami Ziana Zain, dipenjara 8 bulan

Bekas suami Ziana Zain, dipenjara 8 bulan

Kewajaran hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan merotan anak di tangan antara asas rayuan yang dikemukakan bekas suami Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri.

Perkara itu dimaklumkan peguam Amir Farid Mohd. Nawawi yang mewakili Armin Zaharin, 56, ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Amir Farid,  petisyen rayuan yang difailkan secara e-filing di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Januari lalu, selain merayu terhadap sabitan secara keseluruhan, asas rayuan terhadap hukuman adalah antara lain berkenaan kewajaran hukuman yang dijatuhkan sekiranya anak guamnya tetap didapati bersalah sekalipun.

“Keputusan telah dibuat oleh Mahkamah Majistret dan petisyen rayuan ini hanyalah sebagai asas rayuan dalam menjalankan hak perayu yang dijamin undang-undang.

Ianya tidak boleh menghalang Mahkamah Tinggi setelah mendengar pihak-pihak pada pendengaran kelak untuk mengesahkan dapatan (findings) terdahulu (Majistret),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar berkata, hari ini sepatutnya ditetapkan pengurusan kes rayuan itu namun digantikan dengan tarikh lain 23 Mac ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Azizah Jaafar.

Pada 28 September tahun lalu, Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Armin Zaharin selepas dia didapati bersalah sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya berumur 9 tahun (ketika kejadian) menggunakan sebatang rotan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam, antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari 2018.

Berikutan itu Armin Zaharin didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sabreena bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman  sehingga selesai proses rayuan, namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Dalam perbicaraan itu seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk mangsa manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu Armin Zaharin.

Armin Zaharin yang juga bekas pramugara  ditangkap pada 2 Mac 2018, selepas Ziana, 52, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.

Ziana yang popular dengan lagu Puncak Kasih itu memfailkan tuntutan perceraian pada 3 April 2018, selepas Armin Zaharin enggan melafazkan cerai terhadapnya

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2021/01/13/penjara-8-bulan-antara-asas-rayuan-armin-zaharin/

COMMENTS