Bekas penjawat awam didenda RM40,000

Bekas penjawat awam didenda RM40,000

Bekas penjawat awam didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM25,500 ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat SUKMA XIX Perak 2018.

Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu terhadap Herman Ibrahim, 46, yang merupakan bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak.

Tertuduh didakwa dengan enam pertuduhan menerima suapan antara 15 November 2018 hingga 18 Februari 2019 membabitkan nilai RM257,600 yang mana tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Herman didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Khairil Azwar Khalil menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap dua daripada enam pertuduhan itu dalam prosiding pada hari ini.

Dua pertuduhan itu membabitkan penerimaan suapan RM7,500 dan RM18,000 daripada dua individu berbeza yang mempunyai kaitan urusan rasmi dengan tertuduh pada 15 dan 18 November 2018.

Untuk empat lagi pertuduhan, tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah selepas menerima tawaran oleh pihak pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Wahida Jalaluddin.

Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan harta yang disita oleh SPRM daripada tertuduh iaitu sebuah kedai dobi dan barangan kemas dipulangkan kembali kepada tertuduh dengan bayaran RM45,000 dibayar kepada Kerajaan Malaysia.

Sumber: HM