Banjir kilat tak halang pelanggan nikmati sarapan pagi

Banjir kilat tak halang pelanggan nikmati sarapan pagi

Banjir kilat tak halang pelanggan nikmati sarapan pagi. Hujan lebat berterusan sejak malam Sabtu menyebabkan sebuah warung di Gong Badak di sini dinaiki air secara mendadak sehingga pelanggannya terpaksa menjamu selera di dalam banjir.

Meskipun begitu, kebanyakan pelanggan yang berkunjung di Warung Bilal dekat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) meluahkan rasa teruja kerana dapat merasai sarapan pagi dalam suasana berbeza.

Pemilik warung, Rosli Mohamad berkata, air mula naik pada jam 6 pagi ketika empat pekerjanya sedang menyediakan makanan untuk dijual.

“Disebabkan bahan mentah sudah dibeli dan kebetulan sedang dimasak atas dapur, warung terpaksa juga beroperasi dan dibuka kepada pelanggan hari ini bagi mengelakkan pembaziran.

“Kebetulan ketika pelanggan datang sekitar jam 8 pagi, air masih bertakung sehingga paras lutut iaitu sekitar 0.3 meter,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Menurut Rosli, keadaan itu bukan kali pertama berlaku kerana warungnya sudah tiga kali dinaiki air sejak beroperasi tahun lalu.

“Disebabkan kawasan ini sudah beberapa kali dinaiki air, kita sudah bersedia mengangkat barang-barang seperti peti sejuk ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, pekerjanya, Norhayati Mohamad, 55, berkata, dia bersama seorang lagi pekerja, Nurul Ain Nasuha Wan Nordin, 21, tidak menyangka air naik semula sehingga mencecah paras lutut.

“Ketika air naik, saya sedang memasak di dapur dan menjangkakan ia hanya melimpah sehingga di depan kedai. Tak sangka pula sehingga paras lutut.

Banjir kilat tak halang pelanggan nikmati sarapan pagi

“Kalau ikutkan baru sahaja warung ini dinaiki air ketika banjir buruk pada 20 Disember lalu, namun hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan limpahan air dari longkang berhampiran sehingga warung ini sekali lagi digenangi air,” katanya.

Sementara itu, kebanyakan pelanggan yang ditemui menyatakan mereka masih ke warung itu untuk bersarapan walaupun dinaiki air.

Menurut seorang kakitangan swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Damia, ia adalah pengalaman pertama dilalui dan dia berasa teruja seperti makan di restoran atas air.

“Walaupun warung ini dinaiki air, airnya agak jernih dan saya tidak berasa bimbang untuk bersarapan di sini,” katanya.

Hujan lebat berterusan sejak malam Sabtu menyebabkan beberapa penempatan penduduk sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dilanda banjir kilat.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan paras air di kebanyakan sungai di seluruh Terengganu masih terkawal.

BACA:

Longgokan makanan belum tamat tempoh dibuang, kecoh netizen cari lokasi

Rai harijadi anak dengan bekas suami, Nora Danish dipuji profesional