Tangga bergerak atau lebih dikenali sebagai eskalator merupakan sejenis kemudahan yang sangat penting dalam bangunan tinggi, khususnya seperti di pusat beli-belah.
Dengan kemudahan ini, pengunjung dapat bergerak sama ada turun atau naik antara tingkat dengan mudah.
Namun lumrah ciptaan manusia, secanggih mana pun kemudahan itu, tetap ada masanya akan berdepan dengan kegagalan sistem atau mekanikal.
Begitu juga dengan eskalator, kerap juga kita berjumpa dengan eskalator yang tidak berfungsi atau sedang dalam penyelenggaraan, kan?
Ada kalanya, kita sebagai pengguna cederung untuk menjadikan eskalator yang tidak berfungsi sebagai tangga.
Sebenarnya, tindakan tersebut adalah berbahaya dan berisiko mendatangkan kecederaan.
Menurut Brightside, ramai yang tidak tahu bahawa eskalator sebenarnya tidak direka untuk berfungsi seperti tangga.
Sekiranya eskalator berhenti berfungsi akibat kegagalan mekanikal, ada kemungkinan untuk kemudahan tersebut bergolek ke bawah. Andai tiada papan tanda amaran diletakkan, anda juga tidak tahu bila alat itu akan berfungsi semula.
Selain itu, eskalator juga direka untuk membawa beban pada tahap tertentu dalam satu-satu masa. Ketika eskalator bergerak, keadaan seperti conveyor, maka beban yang ditanggung oleh eskalator tidak terlalu ketara.
Bagaimanapun ketika berhenti, beban yang perlu digalas oleh gelang eskalator mungkin melebihi had yang boleh ditanggung. Jadi, ada kemungkinan tangga-tangganya boleh runtuh pada bila-bila masa.
Bahaya dan risiko guna eskalator tak berfungsi sebagai tangga yang ramai tak tahu
Menurut Brightside lagi, jarak antara anak tangga pada eskalator adalah lebih besar, tidak sama seperti tangga biasa.
Malah, tergantung pada waktu eskalator berhenti, jarak anak tangga antara satu sama lain juga tidak akan sama. Misalnya, jarak anak tangga di kawasan tengah mungkin lebih besar berbanding jarak antara anak tangga di bahagian bawah dan atas.
Jadi langkah mungkin menjadi tidak sekata dan anda berisiko untuk tersepak hujung tempat pemijak, sekaligus membuka ruang untuk terjatuh serta cedera.
Jarak antara tingkat ke tingkat yang dihubungkan eskalator juga biasanya lebih tinggi berbanding tangga yang biasanya dibina secara zig zag.
Jika anda biasa menggunakan eskalator setiap hari, anda juga akan merasa sedikit janggal ketika menggunakan eskalator yang tidak berfungsi sebagai tangga.
Jadi, ada potensi untuk anda tersadung dan berisiko untuk mendatangkan kecederaan.