Badan susut namun keadaan Yasin baik

Badan susut namun keadaan Yasin baik

Badan susut namun keadaan Yasin baik. Hasrat penyanyi, Yasin Sulaiman, 47, untuk menonton perlawanan akhir Piala Dunia, Ahad ini nampaknya tidak akan menjadi kenyataan dan perlu menunggu sehingga 11 Januari depan untuk sebutan keputusan representasi kali kedua bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapinya.

“Sebelum ini, saya mengharapkan 18 Disember ini (Ahad), sempat untuk saya tonton Piala Dunia dan nak raikan tahun baharu. Namun, nampaknya saya kena tunggu Januari nanti,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad, peguam yang mewakili Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, pihak pembelaan sudah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kami dihubungi pasukan pendakwaan semalam yang memaklumkan mereka memerlukan lebih masa sebelum membuat pertimbangan berhubung representasi berkenaan,” katanya.

Yasin berkata, dia juga berasa dalam keadaan sihat walaupun kelihatan susut berbanding sebelum ini.

Badan susut namun keadaan Yasin baik

“Memang pegawai-pegawai di sana (penjara) pun ramai yang bertanya sebab saya dah kurus. Bagaimanapun, saya rasa okay.

“Dah jumpa doktor dan dia cakap tak ada masalah. Berat saya dah turun lima kilogram. Saya akan cuba naikkan berat untuk menyenangkan hati pegawai di sana,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu juga berkongsi mengenai masalah badan menggeletar yang dialaminya kini.

“Saya ada menggeletar sikit di dalam penjara. Saya makan ‘lithium carbonate’ dan ia adalah ubat yang perlu sentiasa dipantau. Kena buat ujian darah, toksin dan sebagainya.

“Namun, berada di dalam penjara memang agak susah sikit walaupun kita dah cuba usahakan. Namun, ia bukan masalah besar dan Insya-Allah, saya akan harungi dengan tenang saja,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih atas sokongan banyak pihak terhadapnya.

Pada 6 Julai lalu, Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan dituduh semula atas pertuduhan baharu.

Yasin didakwa memiliki dadah seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama.

Yasin turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memberikan dirinya dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.05 malam, 24 Mac lalu.

BACA:

Doktor gigi mampu beli kereta import cash, rupanya ini aktiviti haramnya

Dana Covid-19 : 8 agensi & 9 syarikat diserbu SPRM, Muhyiddin menyusul

Nasi lemak paling mahal didunia, tengok harga pun boleh pitam