Kerana kasih sayang, ada yang sanggup berkorban dan melakukan apa sahaja, termasuklah membelanjakan sebahagian daripada wang belanja untuk teman wanita.
Seperti lelaki ini, walaupun masih belajar, dia dengan rela hati menghabiskan sebahagian daripada wang belanja
Yang diberikan oleh ibu bapanya setiap bulan untuk kekasihnya yang juga seorang pelajar.
“Saya dan GF (teman wanita) dua-dua masih belajar. Masing-masing hidup guna duit belanja mak ayah je.
Cuma untungnya saya dapat lebih daripada dia, iaitu kira-kira RM1,000 sebulan, tetapi setiap kali saya dapat duit, saya mesti memberi 80 peratus daripadanya kepada dia,” demikian menurut si lelaki di laman X.
Namun, di sebalik sifat pemurah itu, ada kalanya pemuda berkenaan tetap berkecil hati dengan sikap teman wanitanya apabila dia tidak dapat memberikan wang belanja kerana kesempitan kewangan.
Lebih dikesali apabila teman wanitanya tidak menyedari bahawa dia punca utama kekangan kewangan yang dihadapinya.
“Baru-baru ini, saya dapat duit belanja pada 2 haribulan. Selepas 3 haribulan, hampir RM700 daripada duit saya habis untuk dia. Apabila saya tidak mampu untuk belanja dia, dia membuat muka kesian.
Sebabnya, duit belanja saya lebih banyak daripada dia, hingga saya sentiasa rasa bersalah kerana tidak dapat memberi wang belanja kepadanya,” ujarnya.
“Duit yang diberikan oleh mak ayah adalah untuk belajar, bukan untuk membazirkan kepada pasangan. Kadang-kadang saya kecil hati kerana saya juga ada hobi.
Saya juga ingin bersosial dengan kawan-kawan, tetapi setiap kali mereka ajak keluar, alasan saya selalu sama, iaitu tidak ada duit kerana memang saya tiada duit belanja yang dapat bertahan lebih daripada seminggu.
Saya memerlukan nasihat anda kerana saya sangat menyayangi GF saya,” katanya lagi.
Di ruang komen, majoriti netizen tidak bersetuju dengan cara pemuda itu memanjakan kekasihnya dengan wang ringgit, terutamanya kerana kedua-duanya masih belajar dan menerima wang belanja daripada ibu bapa masing-masing.
Malah, ada segelintir yang mempersoalkan kesetiaan teman wanita pemuda itu dan mencurigai bahawa hubungan mereka mungkin hanya berdasarkan kesenangan dan kenikmatan hidup semata-mata.