Arsenal sudah keluar dari asap permasalahan

Arsenal sudah keluar dari asap permasalahan

SOUTHAMPTON: Empat hari selepas disingkirkan Southampton dalam Piala FA, Arsenal membalas dendam dengan menundukkan The Saints 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.

Keputusan itu memuaskan hati pengendali Gunners, Mikel Arteta dan mengubat sedikit kekecewaan gagal mempertahankan trofi Piala FA ekoran kekalahan 1-0 di Stadium St. Mary’s, Sabtu lalu.

Biarpun ketinggalan menerusi gol Stuart Armstrong seawal minit ketiga, Arsenal bangkit dengan pantas menerusi Nicolas Pepe (minit kelapan) dan Bukayo Saka, minit ke-39.

Alexandre Lacazette melengkapkan jaringan ketiga Arsenal pada separuh masa kedua, iaitu kali pertama Gunners berjaya bangkit dan menang di tempat lawan sejak Arteta mengambil alih pasukan pada Disember 2019.

Kemenangan kelima dalam enam aksi terakhir liga meletakkan Arsenal di tangga kelapan, sekali gus berada pada landasan tepat sebelum berdepan Manchester United, pagi Ahad ini.

“Setiap kali anda memenangi perlawanan, ia akan meningkatkan keyakinan. Kami juga bermain baik sebelum ini tetapi gagal menang.

“Beberapa kemenangan yang dilakar sejak kebelakangan ini membuktikan pemain kami memiliki daya tahan dan semangat juang yang tinggi.

“Dalam aksi hari ini, kami melepaskan gol menerusi sepakan penjuru di awal permainan tetapi segera bangkit untuk membalas.

“Kami sudah keluar dari masalah dan mendapat peluang terbaik,” kata Arteta. – AFP

Berita penuh: https://www.utusan.com.my/sukan/2021/01/arsenal-sudah-keluar-dari-masalah/

COMMENTS