Anggota polis rasuah akan dikenakan tindakan mengikut prosedur sedia ada – Hamzah Zainudin

Anggota polis rasuah akan dikenakan tindakan mengikut prosedur sedia ada – Hamzah Zainudin

Anggota polis yang didapati melakukan kesalahan termasuk bersekongkol dengan “Geng Nicky” tidak akan terlepas daripada tindakan, dan akan disiasat mengikut undang-undang sedia ada.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata terdapat prosedur-prosedur tertentu yang perlu dijalankan jika kesalahan itu di bawah Akta Polis.

“Ada prosedur-prosedur tertentu, contohnya kalau seorang dianggap bersalah, dan ianya hendak dihukum supaya turun pangkat, ada proses nak melakukannya.

“Selepas itu dibawa ke Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) dan kalau SPP rasa ianya betul seperti mana yang dipersetujui, maka jatuh lah hukum seperti yang dibawa oleh Jabatan Integriti Polis.

“Tetapi kalau dia melakukan kesalahan-kesalahan yang memang ada (mengikut) undang-undang dalam negara ini, memang patut ditangkap tidak kira pegawai polis sahaja atau sesiapa sahaja.

“(Tindakan) kita tengok (semua) ianya dari segi ahli politik, rakyat biasa, atau pegawai kerajaan ianya dilakukan dari masa ke semasa dan bukan polis sahaja,” katanya dalam Sidang Media Meja Bulat di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya enggan menyerahkan senarai nama pegawai yang menjadi tali barut dengan “Geng Nicky” kepada Bukit Aman, sebaliknya berjanji mengheret mereka ke mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah terancang.

Ayob juga menegaskan tindakan undang-undang akan diutamakan manakala tindakan tata tertib dijadikan pilihan akhir dalam menangani kes pegawai polis yang terlibat dalam kes tersebut.

Mengenai pertukaran pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, Hamzah berkata keputusan tersebut dibuat oleh SPP selaku suruhanjaya paling tinggi dalam pasukan keselamatan itu.

“Sesuatu kepuutusan itu hendaklah melalui SPP tetapi kalau yang biasa yang telah diluluskan oleh SPP, ia patut diterima oleh PDRM,” ujarnya.

Pertukaran jawatan dalam PDRM sebelum ini menjadi isu apabila arahan pertukaran yang sudah dikeluarkan bulan lalu secara tiba-tiba ditangguhkan.

Hamzah yang juga selaku Pengerusi SPP turut menafikan mencampuri urusan pertukaran pegawai kanan polis seperti mana yang dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

COMMENTS