Anak lelaki terkaya dunia kahwin, penduduk setempat yang panas

Selepas menganjurkan parti mewah di seluruh dunia sejak Mac lalu, kemuncak majlis perkahwinan anak lelaki terkaya Asia berlangsung hari ini.

Anant Ambani yang juga anak kepada Pengerusi Reliance Industries, Mukesh Ambani akan disatukan dengan Radhika Merchant iaitu anak kepada taikun farmasi, Viren dan Shaila Merchant.

Majlis perkahwinan secara mewah dan besar-besaran selama empat hari di bandar Mumbai itu adalah acara terakhir dalam rangkaian pesta mewah dianjurkan keluarga hartawan itu sejak Mac lalu.

Menerusi pesta mewah yang diadakan itu, jutawan berkenaan turut ‘menerbangkan’ bintang pop Hollywood seperti Rihanna dan Justin Bieber bagi menghiburkan tetamu sekali gus menarik perhatian seluruh dunia mengenai majlis perkahwinan itu.

Laporan media menyebut, mereka sekeluarga akan mengadakan resepsi besar-besaran sepanjang hujung minggu, sebelum resepsi terakhir untuk kakitangan kediaman mereka pada Isnin.

Polis Mumbai menyifatkan perkahwinan itu sebagai “acara umum” kerana ia turut dihadiri beberapa tokoh kenamaan antarabangsa serta India, lapor Reuters.

Pihak polis turut mengadakan sekatan lalu lintas di sekitar tempat acara berlangsung.

Sekatan itu juga mencetuskan kemarahan penduduk kota yang mengatakan mereka sudah bergelut dengan kesesakan lalu lintas dan banjir monsun.

Dari Jumaat hingga Isnin, jalan di sekitar pusat konvensyen akan dibuka hanya untuk “kenderaan acara” antara jam 1 tengah hari hingga tengah malam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Club One Air, Rajan Mehra memberitahu Reuters, keluarga Ambani menyewa tiga jet Falcon-2000 untuk membawa tetamu ke acara itu.

Antara 1,200 tetamu yang menghadiri sambutan itu ialah selebriti antarabangsa, ahli politik dan ahli perniagaan dunia termasuk Mark Zuckerberg dari Meta dan Bill Gates dari Microsoft.

Keluarga Ambani tidak mendedahkan berapa kos perkahwinan sepanjang pesta itu berlangsung, namun perancang perkahwinan menganggarkan mereka membelanjakan antara AS$132 juta (RM620 juta) hingga AS$156 juta (RM732 juta).

Dikhabarkan Rihanna dibayar AS$7 juta (RM32.8 juta) untuk persembahannya, manakala angka yang dicadangkan untuk Bieber pula sebanyak AS$10 juta (RM47 juta).

Baca : Nenek usia 75 tahun kena rogol dengan manusia durjana dalam ladang tebu