Seorang wanita sudah mulai rimas dengan sikap ibu mentua yang gemar mengekori dirinya dan suami ke mana sahaja mereka berdua pergi.
Lebih memburukkan keadaan, ibu mentuanya itu tergamak meninggalkan suaminya sendiri di rumah semata-mata mahu mengikut anaknya yang baru sahaja berkahwin.
Tidak mampu lagi menahan perasaan, berikut perkongsian wanita yang memohon doa agar suaminya dimurahkan rezeki supaya bebas daripada cengkaman ibunya.
“Aku perempuan yang baru sahaja berkahwin. Sebaik sahaja kami mendirikan rumah tangga, aku berhijrah mengikut suami berikutan dia bekerja di tempat kelahirannya.
Jadi kami dapatlah duduk di rumah yang syarikat suami sediakan.
Tetapi ini bukanlah kisah mengenai rumah, syarikat atau jiran. Sebaliknya tentang mentua.
“Mak mentua aku ini ada seorang sahaja anak lelaki. Pada masa yang sama, itulah lelaki yang aku pilih menjadi suami. Anak perempuan iaitu adik ipar aku ada seorang juga, masih sekolah rendah Tahap Satu. Sebenarnya, banyak perkara yang aku tak berkenan dengan dua anak-beranak ini.
“Perangai mak mentua ini, suka sangat mengikut ke mana sahaja kami suami isteri pergi. Dia tak faham ke orang baru kahwin nak keluar berdua.
Pergi mencari barang dapur nak ikut, ke pasar pun nak mengekor juga. Menyampah. Kalau ikut tetapi diam sahaja tidak mengapalah. Ini banyak bunyi.
“Kalau orang beli barang banyak, dikatanya macam nak meniaga. Dibawa ke pusat beli belah pula, diajak singgah merata. Kisah anak kecil mentua pula, aku rasa dia ini macam budak biadab.
Apabila suami balik ke kampung aku, dia asyik mengganggu. Selalu telefon, kadang-kadang buat panggilan video suruh abang dia balik cepat.
“Selepas buat perangai, adik ipar akan merajuk pula disebabkan kami tak beli buah tangan dekat dia. Tahun ini selepas beraya di kampung suami, kami merancang nak balik kampung aku. Tiba-tiba pula mak mentua buat drama. Kononnya baru nak ajak ke sana dan ke sini, tetapi kami nak balik pula.
“Selesai hal raya, kami bincang yang Aidil Adha nanti nak balik kampung aku. Sebab ada korban. Mulalah orang tua itu buat drama lagi. Kata nak tumpang, minta hantar dia ke rumah sepupu konon satu jalan. Mak mentua aku ini ada suami. Boleh pula dia nak tinggalkan semata-mata nak menyibuk hal kami laki bini nak berjalan.
“Kenapa mak mentua boleh tahu kami nak kemana? Sebab kami pinjam kereta arwah suami lama dia. Doakanlah suami aku dimurahkan rezeki supaya dapatlah beli kereta sendiri.
Sebabnya aku sudah tak tahan dengan penyibuk itu. Aku pohon, janganlah kecam. Sebab yang faham, akan mengerti situasi aku.
“Aku cuma rimas dan tak selesa ada mentua penyibuk. Aku selalu baca perkongsian mengapa banyak menantu perempuan tak suka mak mentua. Sedangkan kita juga perempuan.
Sekarang aku pula menghadapinya.” Kongsi wanita terbabit dalam satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.