Aktiviti kunci tayar di Kota Bharu dihentikan serta merta susulan keputusan mahkamah

Aktiviti kunci tayar di Kota Bharu dihentikan serta merta susulan keputusan mahkamah

Aktiviti kunci tayar di Kota Bharu dihentikan serta merta susulan keputusan mahkamah. Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB BRI) menangguhkan serta-merta tindakan kunci tayar kenderaan yang diparkir dalam petak parkir kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Yang di-Pertua MPKB BRI, Rosnazli Amin berkata berkuat kuasa hari ini, tindakan kunci tayar di bawah Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) (Majlis Perbandaran Kota Bharu) 2000 akan ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang diberitahu kelak.

Rosnazli berkata demikian melalui satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi.

Keputusan ini dibuat kerana akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang sebulat suara memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar MPKB adalah tidak sah kerana bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hashim Hamzah, mendapati bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ultra-vires dengan seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Aktiviti kunci tayar di Kota Bharu dihentikan serta merta susulan keputusan mahkamah

Mahkamah walau bagaimanapun memutuskan bahawa Perintah 8 di bawah Perintah yang sama masih sah dan MPKB masih boleh mengenakan kompaun bagi kesalahan berkaitan letak kereta.

Dengan keputusan itu, pihak MPKB BRI tidak lagi boleh mengunci tayar kereta yang diletakkan di dalam petak letak kereta dan hanya boleh mengenakan kompaun sahaja.

Kes berkenaan dibawa oleh perayu Nursyafawati Kasim yang diwakili oleh peguam diketuai oleh Hisham Fauzi dan dibantu oleh Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing.

MPKB pula diwakili peguam Marwalis Adam dan dibantu oleh Shaharuddin Mohamed.

Turut bersidang ialah dua lagi hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Jalil dan Datuk Supang Lian.

Sementara itu Rosnazli memaklumkan pihak MPKB-BRI telah mengarahkan peguamcara Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz (Panel Peguam MPKB-BRI) untuk memohon alasan penghakiman penuh berkaitan dengan keputusan kes tersebut sebelum membuat keputusan sama ada untuk memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.

BACA:

Kerajaan kekal pertahan hak bersuara namun ada batasnya – Fahmi

Risiko dinaiki air, ini senarai kawasan terlibat di Perak dan Selangor

Penjawat awam bakal terima bonus satu bulan setengah gaji?