Kajian penyelidikan terbaru yang dijalankan mendapati bahawa e-rokok atau vape boleh menyebabkan
saiz buah zakar mengecut dan jumlah sperma berkurangan, lapor New York Post.
Kajian tersebut dilaporkan dilakukan ke atas tikus jantan.
Para saintis dari Turkiye yang menjalankan kajian tersebut dilaporkan telah mengambil bacaan saiz testis tikus sebelum dan selepas didedahkan kepada asap rokok dan wap e-rokok.
Penyelidik juga telah mengenal pasti biomaker tekanan dalam darah dan alat kelamin haiwan itu.
Selain itu, kesan asap rokok konvensional dalam kajian terdahulu turut mendedahkan bahawa ia memberi kesan yang lebih buruk kepada organ lelaki.
Kiraan sperma tikus yang terdedah kepada wap e-rokok ialah 95.1 juta sperma setiap mililiter. Ia berkurang daripada 98.5 juta setiap mililiter tikus yang tidak terdedah kepada sebarang nikotin.
Bagaimanapun, kumpulan tikus yang terdedah kepada asap rokok mempunyai jumlah terendah daripada ketiga-tiga kiraan dengan 89 juta sperma setiap mililiter.
Testis haiwan kajian itu juga diukur paling kecil dan kurang berat dibandingkan tikus yang terdedah kepada wap e-rokok serta kumpulan kawalan.
“Walaupun cecair e-rokok telah diperkenalkan sebagai tidak berbahaya dalam kajian berhenti merokok, ia boleh meningkatkan tekanan oksidatif dan menyebabkan perubahan morfologi testis,” tulis penyelidik dalam laporan mereka.
Kajian itu telah diterbitkan bulan ini dalam jurnal bahasa Sepanyol bernama Revista Internacional de Andrologia.
Pada tahun 2020, penyelidik Denmark juga mendapati bahawa lelaki yang menggunakan e-rokok setiap hari mempunyai jumlah sperma yang rendah.
BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas
Walau bagaimanapun, pengarang kajian semasa mengatakan bahawa lebih banyak data manusia diperlukan untuk menyokong penemuan itu.
Ini kerana e-rokok didakwa sebagai kaedah yang berkesan untuk membantu orang ramai menghentikan tabiat tembakau mereka.
Dianggarkan seramai 12 juta orang dewasa menggunakan e-rokok manakala berjuta-juta remaja dan kanak-kanak turut terlibat dalam aktiviti tersebut.
Menurut Jurnal Life, penggunaan e-rokok boleh menyebabkan kecederaan paru-paru dan kesihatan mental yang lemah.
Selain itu, ia juga dikaitkan dengan masalah kesuburan bagi pengguna lelaki yang mengamalkannya.
Bagi mereka yang mengalami masalah kesuburan dan sedang hamil, doktor mengesyorkan agar mereka berhenti mengamalkan amalan merokok.
BACA: 7 Selebriti Hollywood yang ada kaitan kekeluargaan dengan Raja England