Akhirnya terungkai misteri jubin lantai rumah meletup tiba-tiba, ini cara atasinya

Bagi pemilik kediaman, pengalaman mendengar bunyi jubin meletup boleh menjadi satu pengalaman yang menakutkan.

Bunyi meletup yang kuat datang dari arah lantai pasti sangat mengejutkan bagi sesiapa yang tidak pasti apakah puncanya.

Jubin ‘meletup’ atau dalam Bahasa Inggeris yang disebut ‘buckle up’ atau ‘popped-up’

Akhirnya terungkai misteri jubin lantai rumah meletup tiba-tiba, ini cara atasinya

Merupakan perkara yang biasa terjadi sampai kini walaupun teknologi industri jubin telah bertambah baik.

Semasa industri jubin berevolusi, pemerhatian banyak dilakukan bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang masalah-masalah yang berlaku pada jubin.

Bagi masalah jubin ‘meletup’, terdapat 6 punca masalah utama dan disertakan jalan penyelesaiannya bagi mengurangkan kebarangkalian untuk kejadian ini daripada berlaku setelah pemasangan jubin itu selesai. Antaranya ialah:

1) PERMUKAAN LANTAI YANG TIDAK RATA

Permukaan lantai yang tidak rata akan menyebabkan lekatan antara jubin dan permukaan lantai tidak sempurna. Permukaan lantai yang tidak rata juga akan menyebabkan hasil pemasangan jubin kelihatan tidak rata.

Penyelesaian: Permukaan lantai harus diratakan terlebih dahulu. Permukaan lantai yang rata juga akan menjimatkan penggunaan pelekat jubin.

Proses meratakan ‘cement render’ sebelum dibiarkan kering untuk memasang jubin

2) PERMUKAAN LANTAI YANG TIDAK DIBERSIHKAN (TERDAPAT KEKOTORAN)

Permukaan lantai yang tidak bersih atau terdapat kekotoran akan menyebabkan lekatan antara pelekat jubin dan lantai menjadi tidak sempurna.

Sebagai contoh, permukaan lantai yang sudah ditinggalkan dalam masa yang lama akan terdapat lumut-lumut di permukaan tersebut.

Jika tidak dibersihkan, sudah tentu lumut-lumut ini akan menyebabkan lekatan antara jubin dan lantai akan menjadi tidak sempurna.

Penyelesaian: Pastikan tiada kekotoran pada permukaan lantai sebelum pemasangan jubin. Sapu lantai sehingga tiada pasir atau habuk bagi memastikan kerja-kerja pemasangan jubin boleh berjalan dengan lancar.

3) PEMILIHAN KELAS PELEKAT JUBIN YANG TIDAK SESUAI

Jubin terbahagi terbahagi kepada 2 kelas utama: i) Jubin Porselin (kadar serapan air <3%) & ii) Jubin Seramik (kadar serapan air ≥3%).

Justeru itu, setiap jubin yang digunakan perlu mengikut kelas pelekat jubin yang betul. Jubin porselin perlu menggunakan pelekat jubin kelas C2 (kadar kekuatan pelekat minima 1N/mm2), manakala jubin seramik perlu menggunakan pelekat jubin kelas C1 (kadar kekuatan pelakat minima 0.5N/mm2).

Kesalahan yang selalu dilakukan adalah menggunakan pelekat jubin kelas C1 untuk jubin porselin dengan tujuan menjimatkan kos. Hal ini akan menyebabkan cengkaman antara pelekat jubin dan jubin tidak optimum dan boleh menyebabkan kejadian jubin ‘meletup’ berlaku.

Terdapat pelbagai jenama pelekat jubin di pasaran

Penyelesaian: Sebaiknya, pengguna berhubung terus dengan pengedar pelekat jubin bagi pertanyaan tentang produk mereka yang sesuai untuk jubin yang hendak dipasang dan pengguna juga boleh menjemput pihak pelekat jubin melakukan demo cara yang paling tepat untuk menggunakan produk mereka.

4) MENCAMPURKAN PELEKAT JUBIN DENGAN SIMEN

Pelekat jubin komponen tunggal (dibancuh bersama air dan terus digunakan) itu sendiri sudah mengandungi simen. Apabila kontraktok cuba mencampurkan pelekat jubin dengan simen dengan tujuan menjimatkan kos, tindakan ini akan menyebabkan nisbah campuran bahan ini akan berubah dan menyebabkan tahap lekatan berkurangan dan menyebabkan nilai elastik pelekat jubin itu turut merosot. Pelekat jubin kelas C1 harus mencapai tahap kadar kekuatan 0.5 N/mm² manakala kelas C2 adalah 1.0 N/mm². Pelekat jubin yang telah melalui pelbagai ujikaji seharusnya sudah mencukupi dan tidak lagi memerlukan bahan tambahan lain kecuali air.

Penyelesaian: Jangan mencampurkan pelekat jubin dengan simen. Tindakan ini bukan sahaja akan menyebabkan lekatan antara pelekat jubin dan jubin berkurang, malah ini akan menyebabkan risiko yang tinggi kepada pemilik kediaman sekiranya jubin yang dipasang pada paras dinding kelak tertanggal.

5) JARAK ANTARA JUBIN YANG TERLALU RAPAT

Kita mungkin berfikir, “ruang antara jubin juga memainkan peranan kepada masalah jubin ‘meletup’?”.

Ya. Jubin memerlukan ruang kelegaan yang cukup antara satu jubin dengan jubin yang lain. Ruang antara jubin yang disarankan adalah sekurang-kurangnya 3mm. Lebih besar jubin, lebih besar ruang kelegaan diperlukan. Ruang ini diperlukan bagi jubin-jubin ini menerima sebarang gegaran contohnya dari pergerakan tanah, pergerakan struktur bangunan mahupun gegaran daripada penggunaan mesin-mesin berat.

Penyelesaian: ‘Spacer’ adalah alat yang boleh digunakan bagi memastikan jarak antara jubin dipasang sekata dan kemas. ‘Spacer’ boleh didapati di kedai perkakasan dalam pelbagai saiz.

Gambar menunjukkan contoh ‘spacer’ dan cara penggunaan

6) TERDAPAT GELEMBUNG UDARA DI BAWAH JUBIN

Gambar menunjukkan terdapat bahagian jubin yang tidak terkena pelekat jubin

Gelembung udara di bawah permukaan jubin terhasil apabila pelekat jubin tidak penuh dan tidak rata semasa jubin dipasang.

Salah satu cara untuk mengesan perkara ini setelah jubin dipasang adalah dengan mengetuk permukaan jubin dengan menggunakan guli atau duit syiling.

Kita akan dapat mendengar perbezaan jika terdapat gelembung udara di belakang jubin dengan belakang jubin yang dipenuhi dengan pelekat jubin.

Penyelesaian: Salah satu cara bagi memastikan jubin menerima liputan pelekat jubin yang penuh adalah dengan membuat satu lapisan nipis dibelakang jubin.

Dengan cara ini, masalah gelembung udara dapat dikurangkan apabila belakang jubin diliputi pelekat jubin dimana ia dipenuhi sekurang-kurangnya 95%.

Satu lapisan nipis pelekat jubin dibuat dibelakang jubin

Kejadian jubin ‘meletup’ ini boleh ditangani sekiranya kita melakukan pencegahan dari awal semasa proses pemasangan jubin lagi.

Setiap langkah berjaga-jaga harus diambil bagi memastikan setiap kerja pemasangan jubin berjalan dengan lancer.

Jika kerja pemasangan jubin dibuat dengan betul dari peringkat awal lagi, semestinya hasil kerja akan menjadi sempurna dan tidak memerlukan kerja-kerja pembaikan di kemudian hari.

BACA: Bekas isteri dedah imam muda culas bayar nafkah anak, sekali netizen perli ‘orang Pas memang semua macam ni ke?’