Ahli Parlimen disaran buat calitan dua minggu sekali

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan petugas dan Ahli Parlimen membuat ujian calitan dua minggu sekali ketika sidang Dewan Rakyat bagi mengelak mereka dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM membuat pemantauan rapi kerana petugas dan Ahli Parlimen terbabit keluar masuk Parlimen dan bertemu dalam komuniti menyebabkan kemungkinan jangkitan boleh berlaku.

Menurutnya, sebab itu disyorkan tiga hari sebelum ke sidang Dewan Rakyat mereka diminta membuat ujian calitan memandangkan sebelum ini ada kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen.

“Jadi KKM mengesyorkan petugas dan Ahli Parlimen menjalani ujian calitan setiap dua minggu sekali.

“Inilah cara kita hendak mencegah dan mempertingkatkan kawalan supaya tiada dalam kalangan mereka dijangkiti,” katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, selain itu, jika virus sudah ada di dalam komuniti dan jika keluar bertemu orang ramai, risiko dijangkiti akan ada, sekali gus pilihan terbaik adalah duduk di rumah kerana kurang risiko dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengambil tindakan bagi mengelak dijangkiti seperti memakai pelitup muka dan kerap cuci tangan dengan sabun atau pensanitasi tangan.

Berita penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/639946/petugas-ahli-parlimen-disaran-buat-calitan-dua-minggu-sekali

COMMENTS

Wordpress (0)