Gara-gara tersalah rumah, seorang individu terpaksa menanggung kerugian setelah keretanya dipecah oleh pemungut hutang pinjaman wang tanpa lesen.
Tersalah sasaran, Ah Long yang merupakan lelaki tempatan itu bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dan meninggalkan nota berbaur ugutan.
Gugur jantung dibuatnya, lelaki tersebut mengugut mahu membakar rumah mangsa yang terletak di Taman Seri Keramat Ulu Kelang, Ampang Jaya itu.
Mahu memastikan keselamatan dirinya terjamin, mangsa terus tampil ke balai bagi membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, insiden itu disedari mangsa pada pukul 7 pagi ketika berada di rumah.
Menurut laporan, pemilik kenderaan mendapati individu yang membuat pinjaman dengan mereka adalah jiran mangsa.
Kejadian menggerunkan itu berlaku pada Isnin lalu dan pihak polis berjaya mencekup suspek yang mempunyai rekod jenayah itu pada hari Khamis.
“Pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 41 tahun di Bukit Ampang Utama.
“Hasil semakan pula mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah tidak dikehendaki manakala ujian saringan awal air kencing didapati negatif,” katanya.
Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.