6 penuntut UPMN terlepas hukuman gantung bunuh Zulfarhan

6 penuntut UPMN terlepas hukuman gantung bunuh Zulfarhan

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas dakwaan menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.

Hakim perbicaraan Azman Abdullah menjatuhkan hukuman selepas mendengar hujahan peguam mereka dan keterangan impak mangsa daripada keluarga Zulfarhan.

“Bagi tertuduh yang didapati bersalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, anda dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun bermula dari tarikh penahanan pada 2017,” katanya.

Terdahulu, mahkamah mensabitkan enam penuntut terbabit, iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa.

Azman turut menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara terhadap 12 lagi penuntut UPNM yang didapati bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

“Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap 12 orang tertuduh di bawah Seksyen 330,” katanya.

Terdahulu, ketika mitigasi, peguam Amer Hamzah Arshad berkata, enam tertuduh menyesal dengan perbuatan yang dilakukan terhadap Zulfarhan.

“Jika mereka ada kuasa untuk berpatah balik ke masa lalu, mereka akan menggunakannya. Tetapi (kematian Zulfarhan) telah pun berlaku dan kini mereka terpaksa menerima akibatnya.

“Pihak pembelaan memohon belas ihsan mahkamah dalam kes ini supaya mengenakan hukuman penjara antara 10 dan 12 tahun serta memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh penahanan mereka pada 2017,” katanya sambil berkata tertuduh ditahan di Sungai Buloh.

Pasukan pembelaan turut disertai peguam lain, iaitu Ranjit Singh Dhillon, AG Kalidas, Hazizah Kassim, M Ramachelvam, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Zamri Idrus.

COMMENTS