3 tahun berdiam diri, suami pengasas Dnars mahu saman pemfitnah

3 tahun berdiam diri, suami pengasas Dnars mahu saman pemfitnah

3 tahun berdiam diri, suami pengasas Dnars mahu saman pemfitnah.Selepas tiga tahun berdiam diri, suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia pada 18 Mei 2019, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa memfitnahnya di media sosial.

Datuk Ahmad Shah Rizal Ibrahim dalam sidang media hari ini berkata keputusan itu diambil selepas berbincang dengan keluarganya kerana berasakan fitnah berkenaan terlampau berat dan ia sebagai cara terbaik menyelesaikan kemelut itu.

“Kata-kata tidak berasas serta tuduhan keras, kononnya saya telah merancang kemalangan membabitkan arwah isteri saya (sehingga terkorban), memang tidak wajar sama sekali.

“Tuduhan bahawa kematian Allahyarhamah isteri saya dirancang adalah fitnah besar dan amat jelek sekali,” katanya.

Menurut Ahmad Shah Rizal, selama ini beliau memilih untuk mendiamkan diri kerana berharap perkara ini dapat diselesaikan menerusi musyawarah keluarga dan menganggap perselisihan faham sebelum ini hanyalah bersifat sementara.

3 tahun berdiam diri, suami pengasas Dnars mahu saman pemfitnah

“Namun, kemelut itu berlanjutan dan menjadi semakin teruk, hari berganti hari dan keadaan ini memang tidak disangka dan saya amat terkilan dengan sikap sesetengah pihak seperti adanya udang di sebalik batu,” katanya.

Menurutnya, pelbagai tuduhan dilemparkan itu tidak benar dan tidak berasas berikutan disimpulkan netizen selepas membaca artikel portal berkenaan pada 16 dan 17 Jun lalu.

“Antara komen-komen netizen yang berunsur fitnah adalah tuduhan kematian isteri saya adalah satu kemalangan yang dirancang, rumah tangga saya sudah bermasalah ketika arwah masih hidup sehingga saya merancang pembunuhan arwah melalui kemalangan.

“Tuduhan saya menjalinkan hubungan di luar perkahwinan semasa arwah masih hidup sehingga saya merancang kemalangan itu serta proses membawa balik jenazah arwah isteri dari Thailand ke Kelantan tidak dijalankan mengikut lunas undang-undang kerana saya seolah olah berusaha menyembunyikan sesuatu.

“Selain itu, pelbagai tuduhan berkenaan wang tunai, barang-barang milik arwah isteri, pertukaran saham syarikat dan sebagainya,” katanya.

Katanya, dia hanya mengetahui pihak keluarga isterinya membuat laporan polis menerusi laporan media, namun hingga kini dia belum dipanggil pihak berkuasa untuk memberi apa-apa kenyataan.

“Jadi, saya mengambil tindakan ini bagi mempertahankan maruah, imej serta nama baik saya dan keluarga serta menjaga kepentingan dan keselamatan lima anak termasuk seorang daripadanya anak hasil perkongsian hidup bersama Allahyarham Faziani yang terkesan dari segi emosi dan mental selain memberi amaran kepada pihak berkaitan menghentikan fitnah mereka,” katanya.

Sementara itu, peguamnya, Nik Zarith Nik Moustpha berkata setakat ini mereka sudah mengenal pasti beberapa individu termasuk netizen yang menggunakan akaun sebenar yang membuat tuduhan terbabit.

“Kita akan menghantar notis tuntutan termasuk menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh terdekat dan jika tidak kita akan teruskan saman malu dan fitnah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan keluarga Allahyarham Faziani yang meninggal dunia pada 18 Mei 2019 membuat laporan polis menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian mangsa yang disyaki terdapat unsur lain selain laporan turut dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 21 Jun lalu, keluarga Allahyarham sekali lagi membuat laporan polis bagi memohon siasatan berhubung isu resolusi pertukaran pemilikan saham syarikat pengasas produk kecantikan itu.

BACA:

Dapat gred T waktu keputusan SPM, bila semak balik rupanya A

Tun M ramal perang dunia ketiga mungkin tercetus

SD : Setelah pendedahan Tajuddin, Anwar dedah kronologi yang berlaku