28tahun terpisah, lelaki ini tak sangka mampu bertemu ibunya semula

28tahun terpisah, lelaki ini tak sangka mampu bertemu ibunya semula

28tahun terpisah, lelaki ini tak sangka mampu bertemu ibunya semula. Selepas terpisah 28 tahun, seorang pemandu lori ditakdirkan bertemu semula dengan ibunya, Rahimah Mamat yang dirindui sekian lama pada 20 November lalu.

Lebih memilukan, pertemuan itu yang pertama sejak Ahmad Shazrul Nizam Zakaria, 28, diserahkan kepada keluarga angkat ketika masih bayi.

Kisah berkenaan tular di laman sosial selepas isterinya, Nor Shafiqa Husin, 28, memuat naik rakaman video detik pertemuan berkenaan dan wanita itu juga yang menyatukan dua beranak itu.

Berkongsi kisah, Nor Shafiqa yang menetap di Perumahan Seri Damai Sejahtera di sini, berkata, dia berikhtiar membantu suami dengan memuat naik hantaran di kumpulan Komuniti Gong Badak di Facebook (FB) pada 14 November lalu mahu mencari ibu mentuanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka percubaan itu berhasil menjejaki ibu mentua yang kini berusia 50 tahun.

28tahun terpisah, lelaki ini tak sangka mampu bertemu ibunya semula

“Saya berumah tangga dengan suami pada 28 Ogos 2020 dan hasil perkahwinan, kami dikurniakan cahaya mata perempuan yang kini berusia setahun enam bulan.

“Sebelum berkahwin, suami menceritakan perihal dirinya yang diserahkan dan dijaga keluarga angkat sejak kecil kerana difahamkan ibunya ada masalah kewangan.

“Biarpun sudah lama terpisah, suami tetap berikhtiar mencari ibunya sebelum ini, cuma tidak berhasil,” katanya, semalam.

Menurutnya, melihat kesungguhan itu, dia cuba membantu dengan berkongsi cerita ringkas kisah suami di kumpulan FB berkenaan dengan memuat naik bersama gambar surat beranak suami serta kad pengenalan lama ibunya.

Katanya, hantaran itu mendapat maklum balas daripada individu terdekat dengan ibu mentua dalam tempoh kurang 24 jam selepas dimuat naik.

“Hasil maklum balas itu, saya mengaturkan pertemuan suami dengan ibunya. Pertemuan berlaku pada 20 November lalu di mana saya, suami dan keluarga angkat ke Kampung Bukit Agu, Kuala Terengganu untuk bertemu ibu mentua dengan pasangannya.

“Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan memang sebak apabila melihat suami berpelukan dengan ibu kerana tahu sudah lama dia menantikan detik itu.

“Rupa-rupanya, ibu mentua saya juga sudah lama mencari suami, tetapi tidak dapat menjejakinya kerana terputus hubungan dengan keluarga angkat,” katanya.

Sebagai isteri dan menantu, Nor Shafiqa bersyukur dapat merealisasikan impian suaminya.

“Puas rasanya apabila dapat mempertemukan mereka dua beranak kerana sebelum berkahwin, saya berjanji dengannya (suami) untuk bantu cari ibu.

“Emak (ibu mentua) terima saya, malah dia lebih gembira apabila tahu sudah ada cucu.

“Saya gembira kerana nampak perubahan suami kerana riak wajahnya lebih ceria berbanding sebelum ini yang banyak berfikir,” katanya yang tidak pernah menyangka video perkongsian itu mendapat perhatian ramai hingga tular di laman sosial.

BACA:

Modify Toyota jadi Ferrari, lelaki bakal dipenjarakan

Penyampai radio wanita kongsi pengalaman rumah ditembak

Wanita berdepan denda RM50 juta kerana terima deposit RM82 ribu