228 surau tidak lagi dibenarkan Solat Jumaat

228 surau tidak lagi dibenarkan Solat Jumaat

228 surau tidak lagi dibenarkan Solat Jumaat. Kebenaran mendirikan solat Jumaat di 228 surau di negeri ini ditarik balik berkuat kuasa 19 Ogos ini.

Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu adalah susulan cadangan Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum dipersetujui kerajaan negeri menerusi mesyuarat Exco pada 3 Ogos lalu.

Beliau berkata, susulan itu, semua jemaah kariah surau hendaklah menunaikan solat Jumaat di masjid kariah masing-masing bermula 19 Ogos ini.

“Kebenaran diberikan kepada surau sejak dua tahun lalu itu berikutan penularan Covid-19 yang menyekat aktiviti solat secara merapatkan saf, namun selepas beralih ke fasa andemik kita membuat keputusan membatalkan kebenaran itu.

“Ini bermakna, esok adalah Jumaat terakhir bagi semua surau terbabit dan bermula minggu depan, semua ahli kariah hendaklah kembali mendirikan solat Jumaat di masjid kariah masing-masing.

228 surau tidak lagi dibenarkan Solat Jumaat

“Hanya dua surau yang masih dibenarkan mendirikan solat Jumaat iaitu di Kampung Serkam Darat dan Kampung Gelam berikutan masjid kariah mereka sedang diubah suai serta dalam proses pembinaan semula,” katanya selepas menjadi panel Forum Kesedaran Derma Organ sempena Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Dewan Alamanda, di sini hari ini.

Abdul Halim berkata, keputusan menarik semula kebenaran itu berdasarkan justifikasi bahawa ruang masjid kariah masih boleh menampung kapasiti jemaah dalam satu-satu masa.

Katanya, pada masa sama, ia bertujuan mengimarah dan meninggikan syiar Islam di masjid sekali gus dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Keputusan ini adalah selari dengan kaedah fiqh bahawa apabila darurat menimpa seseorang atau jemaah, jika beramal dengan hukum asal yang disyarakkan dalam keadaan biasa akan menyulitkan dan membebankan mereka maka diberi keringanan dan kemudahan ke atas mereka selagi mana darurat itu masih wujud.

“Akan tetapi apabila hilang darurat berkenaan, nescaya kembali hukum kepada asal ia disyariatkan,” katanya.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri dan kerajaan negeri berterima kasih kepada semua surau yang sudah mengambil tanggungjawab mendirikan solat Jumaat walaupun secara sementara dalam tempoh penularan Covid-19.

BACA:

Semakin ramai belia negara ini lakukan seks

Netizen jumpa bukti baru, Hairul Azreen disyaki Sultan Pemurah

Pengunjung terkejut MAHA promosi vape, besar iklannya pada bas ‘shuttle’