1,111 individu ditahan ingkar SOP PKP

1,111 individu ditahan ingkar SOP PKP

Seramai 1,111 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 1,040 individu dikompaun manakala 71 orang direman.

“Kesalahan tertinggi direkodkan ialah rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran sebanyak 306 kes dan tiada penjarakan fizikal sebanyak 300 kes.

“Kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (107), tidak memakai pelitup muka (97), keluar rumah tanpa alasan munasabah (68), membawa penumpang berlebihan (58), aktiviti pusat hiburan (55), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (11) dan lain-lain (109),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia membuat 78,369 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP, semalam.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata, seramai 22 pendatang asing tanpa izin ditahan dan enam kenderaan darat dirampas.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 91 bot dan kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan,” katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 494 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

“Mengenai laporan saringan wajib pekerja asing pula, seramai 5,402 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan daripada jumlah itu, 11 individu didapati positif.

“Secara kumulatifnya Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 373,587 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 16,969 majikan,” katanya.

Ujian saringan Covid-19 diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/674801/1111-individu-ditahan-ingkar-sop-pkp

COMMENTS