10 tahun menanti, akhirnya terima khabar gembira

10 tahun menanti, akhirnya terima khabar gembira

10 tahun menanti, akhirnya terima khabar gembira. “Hampir 10 tahun penantian, akhirnya terjawab dengan khabar gembira yang dikongsi Perdana Menteri hari ini dan sudah tentu saya amat bersyukur,” luah Pegawai KEMAS Daerah (PKD), Mahathir Mohamad, 45.

Beliau antara PKD Gred S38 yang bakal dinaikkan ke gred S41 berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi dua gred kenaikan pangkat bagi skim perkhidmatan pegawai anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Apabila Perdana Menteri sendiri yang umumkan tadi, kami lebih yakin dan ambil maklum serta bersyukur kerana memang sudah lama menunggu untuk kenaikan gred ini.

“Saya sendiri sudah berkhidmat di KEMAS selama 18 tahun dan sudah 10 tahun berada di Gred S38.

“Keprihatinan Perdana Menteri kami ucapkan terima kasih dan membuat kami anggota KEMAS tidak berasa terpinggir kerana beliau sendiri memahami tanggungjawab yang kami galas bukan sahaja membabitkan kakitangan KEMAS, malah orang kampung dan masyarakat sekitar.

10 tahun menanti, akhirnya terima khabar gembira

“Kadang-kala orang lain hanya melihat gred tetapi tidak melihat tanggungjawab besar yang kami (PKD) harus pikul dan pengumuman ini sudah pasti menjawab semua doa kami,” katanya kepada Harian Metro.

Mahathir berkata, Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri yang begitu prihatin dan sentiasa bersama masyarakat terutama anggota KEMAS.

“Beliau tidak pernah lupa dan memahami tugas besar PKD yang sering dekat dengan masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Pendidikan Masyarakat (PPM) KEMAS, Hasliza Wahid, 45, turut melahirkan kesyukuran dan gembira dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri.

Dengan kenaikan kadar elaun kepada RM800 berbanding RM500 sebelum ini, Hasliza berkata, jumlah itu adalah paling tinggi yang pernah diterima sepanjang dia bertugas sebagai PPM KEMAS selama 17 tahun.

“Alhamdulillah, khabar gembira ini yang kami tunggu-tunggu dan tidak sangka Perdana Menteri mengumumkan mengenai kenaikan kadar elaun itu sempena 60 tahun sambutan KEMAS.

“Jika ikutkan, jumlah elaun itu memang masih kecil untuk hidup pada zaman ini, namun kami bersyukur kerana saya sendiri tidak melihat kepada jumlah wang tetapi saya seronok apabila melayan kanak-kanak.

“Tugas kami membantu Pendidik Masyarakat (guru) menguruskan kanak-kanak serta memasak bermula dari 7.30 pagi hingga 1 tengah hari dan paling seronok ketika melihat potensi perkembangan mereka,” katanya yang turut menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung kehidupan seharian.

Menurutnya, walaupun bergelar ibu tunggal, ia tidak menghalang usahanya mencari rezeki, malah sangat seronok menjadi sebahagian anggota KEMAS dan baginya pada zaman sekarang jangan terlalu bergantung dengan satu punca pendapatan.

BACA:

Saman Fitnah : Dasuki diarah bayar RM10 ribu kepada Ketua Pemuda Amanah

Nasi mudah basi? Rupanya periuk perlu dicuci guna 2 bahan ini